am@hmetro.com.my
Seremban: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan rundingan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti tempatan di negeri itu setakat ini belum dimuktamadkan.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata, persefahaman dari segi dasar setakat ini hanya dimuktamadkan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN17.
“Lain-lainnya (kerjasama dengan GRS dan parti lain), kita akan lihatlah, jika ada persefahaman kita boleh bersetuju.
“Jika tidak ada, kita akan pastikan supaya BN mengurus parti dengan baik kerana hasrat kita supaya BN jadi dominan semula dalam pilihan raya dan selepas pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, petang tadi.
Beliau mengulas perkembangan terkini kerjasama antara BN dan PH selepas GRS yang menyatakan persetujuan untuk bersama PH dalam menghadapi PRN Sabah ke-17, dijangka dilangsungkan tahun ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata pucuk pimpinan BN akan melihat dan meneliti setiap fakta yang akan dikemukakan jawatankuasa perundingan selepas jawatankuasa itu selesai melaksanakan tugas mereka.
“Pucuk pimpinan (BN) akan teliti dan menimbang baik buruk atau apa corak persefahaman yang terbaik untuk kita hadapi pilihan raya Sabah ini,” katanya yang menjangkakan hasil rundingan bakal dikemukakan dalam masa terdekat terutama membabitkan persefahaman antara BN dan PH.
Dalam pada itu, Mohamad berharap parti komponen BN tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian antara satu sama lain.
“Sekiranya ada salah faham ia perlulah diselesaikan dengan baik supaya keluarga BN terus kukuh.
“Kita tidak mahu pertelingkahan kecil ini akan menyebabkan persahabatan kita yang sudah pun berpuluh tahun (terbina) itu terjejas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd