Produk tradisional tidak berdaftar mengandungi racun bernilai RM5.2 juta dirampas

Produk tradisional tidak berdaftar mengandungi racun bernilai RM5.2 juta dirampas

audreymd@nst.com.my

Georgetown: Operasi bersepadu Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri ini ke atas enam premis di sekitar Kepala Batas pada Selasa lalu merampas produk tradisional tidak berdaftar disyaki mengandungi racun bernilai RM5.2 juta.

Operasi dengan kerjasama polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pulau Pinang itu merampas 71,000 botol produk tradisional tidak berdaftar, lebih 500 paket bahan mentah disyaki mengandungi racun berjadual serta dua mesin.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, operasi adalah komitmen tegas Kementerian Kesihatan Malaysi (KKM) dalam menangani aduan orang awam dan membanteras penjualan produk tidak berdaftar serta yang dicampur dengan racun.

“Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni di laman sesawang, platform media sosial dan aplikasi e-dagang yang membuat dakwaan perubatan tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Fazilah berkata, pemilikan racun berjadual untuk dijual tanpa lesen racun yang sah adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Sementara itu, beliau berkata, menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik yang tidak dinotifikasikan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Bagi kesalahan pertama, hukumannya ialah denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya; manakala bagi kesalahan berikutnya, dendanya boleh mencecah sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

Menurutnya, orang awam boleh menyemak status pendaftaran ubat atau kosmetik melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di https://www.npra.gov.my di bawah bahagian ‘Status Produk’ atau dengan menghubungi Bahagian Farmasi Regulatori NPRA di talian 03-7883 5400.

“KKM kekal komited dalam menangani pembekalan dan penjualan ubat-ubatan haram di negara ini.

“Kempen ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ atau ‘TOBaTS’ adalah inisiatif baharu oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi yang diperkenalkan tahun lalu untuk membanteras pembekalan dan penjualan ubat-ubatan haram di Malaysia,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai kempen TOBaTS boleh didapati di https://pharmacy.moh.gov.my/tobats.

Dr Fazilah turut menggalakkan orang awam untuk melaporkan dan memberikan maklumat mengenai ubat atau kosmetik yang mencurigakan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana pejabat CPF terdekat atau menghubungi 03-78413200 untuk tindakan lanjut terhadap penjualan produk haram di pasaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top