Prof. Dr. Ahmad Martadha dilantik Naib Canselor Universiti Utara Malaysia Ke-11

Prof. Dr. Ahmad Martadha dilantik Naib Canselor Universiti Utara Malaysia Ke-11

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dilantik sebagai Naib  Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-11 berkuat kuasa 16 Disember 2025.  

Prof. Dr. Ahmad Martadha, 57, adalah graduan lulusan Ijazah Sarjana  Muda Sains Politik dari Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat.

Beliau  kemudiannya telah melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang  Pentadbiran Awam di Indiana State University, Amerika Syarikat sebelum memperoleh Ijazah  Doktor Falsafah dalam bidang yang sama dari Southern Illinois University. 

Beliau berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan tadbir urus universiti dan pernah  dilantik ke beberapa jawatan strategik di UUM termasuklah sebagai Dekan Pembangunan  Pelajar, UUM dari tahun 2005 hingga 2008, Dekan (Pembangunan Pelajar dan  Keusahawanan) dan Pengarah Perancangan Strategik dan Kualiti, Kolej Undang-Undang  Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM antara tahun 2005 hingga 2013.

Beliau  seterusnya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM  bermula tahun 2022 hingga kini. 

Kementerian yakin, kepakaran beliau dalam bidang pentadbiran awam serta pengalaman  menerajui institusi di pelbagai peringkat, beliau mampu menerajui UUM dan memainkan  peranan strategik sebagai pemacu utama dalam memperkukuh budaya pemindahan ilmu  serta merealisasikan visi universiti untuk menjadi sebuah institusi pengurusan terkemuka  yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.  

Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan atas jasa bakti  beliau menerajui UUM sebelum ini. – UTUSAN

Scroll to Top