Program A-Heart bantu anak autism UniMAP – YBR

Program A-Heart bantu anak autism UniMAP – YBR

ARAU – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyediakan sesi terapi deria dan cara kerja kepada kanak-kanak serta remaja autism.

Mereka, yang dipilih dari kalangan keluarga B40 komuniti Perlis mengikuti sesi terapi itu menerusi Program Autism Hub for Educational Resource & Training (A-Heart) yang diadakan sepanjang tahun.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, yayasan itu berusaha memberi tumpuan Pendidikan yang lebih inklusif kepada golongan yang memerlukan di negara ini.

“Menerusi program ini sebanyak 48 sesi terapi diadakan dan dirancang sepanjang tahun ini.

“Program ini juga turut menawarkan sesi diagnosis keperluan terapi anak autism bagi memastikan pendekatan terapi yang efektif serta menyediakan sokongan kemudahan pengangkutan kepada ibu bapa yang menghadapi kekangan menghantar anak mengikuti sesi terapi,” katanya dalam majlis A-Heart, di sini hari ini.

Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin telah mencemar duli ke majlis itu.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis selaku Pro Canselor UMP, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menyokong usaha dalam meningkatkan pendidikan di kalangan golongan istimewa, Mohd Irwan turut berbesar hati menghadiri Majlis Hi-Tea Limpahan PISKANITA & A-Heart.

Menurut beliau, galakan dan dorongan perlu diberikan kepada anak autism supaya dapat fokus dalam mengembangkan potensi mereka.

“Selain itu, inisiatif YBR juga secara tidak langsung menjadi platform kepada anak istimewa ini mendapat peluang pemulihan dan pendidikan mengikut tahap keupayaan serta keperluan masing-masing.

“Malah, kerjasama ini adalah langkah positif memastikan anak autism mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Mereka berbeza dengan yang normal, tetapi tetap mempunyai kelebihan akal fikiran dan kemahiran,” katanya.

Beliau berharap, sokongan berterusan dari semua pihak terutama ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan anak itu lebih berdaya saing serta mampu mempunyai masa hadapan yang cerah sama seperti mereka yang lain untuk hidup lebih sempurna.

Kata Mohd Irwan, sepanjang tahun lalu, seramai 33,903 penerima manfaat telah menyertai program pembangunan masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan RM2.6 juta melibatkan 72 program.

“YBR turut berharap dengan penganjuran program seperti ini dapat memberi impak yang besar kepada usaha membantu masyarakat istimewa dan memberi kesedaran bahawa organisasi luar turut mengambil berat serta sedaya upaya mempelbagai bantuan dan aktiviti kepada golongan yang memerlukan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette