Program advokasi perlindungan kanak-kanak JKM diiktiraf MBOR

Program advokasi perlindungan kanak-kanak JKM diiktiraf MBOR

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘The Largest Child Protection Advocacy Programme’ (Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak Terbesar).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pengiktirafan itu berdasarkan kejayaan JKM menjalankan program di 337 sekolah serta memberi manfaat kepada 128,148 kanak-kanak pada 2024.

Katanya, pada asalnya program disasarkan kepada 300 sekolah dan 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), namun kini berkembang jauh melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Program ini menandakan pencapaian 112 peratus KPI (Indeks Prestasi Utama) nasional bagi 337 sekolah dan telah memberi manfaat kepada 128,148 kanak-kanak pada tahun 2024.

“Melalui inisiatif program ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan JKM komited memperkukuh peranan sekolah serta ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak dilindungi daripada penderaan, pengabaian dan eksploitasi selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2025, di sini hari ini yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda.

Noraini berkata, pelaksanaan program diperkukuhkan melalui kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak.

“Program ini turut menggalakkan pembabitan masyarakat untuk menjadi mata dan telinga komuniti khususnya melalui pelaporan kes penderaan menggunakan Talian Kasih 15999. Justeru, dengan pengiktirafan ini menjadi bukti kukuh terhadap komitmen dan dedikasi semua pihak dalam memperkasa agenda advokasi kanak-kanak,” katanya

Beliau memaklumkan rekod membanggakan program itu pada tahun ini dengan pembabitan 517 sekolah yang kemudian diperluaskan kepada 44 PAKK, sekali gus memanfaatkan hampir 62,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia.

“Melalui JKM, kami komited untuk memperkukuh peranan komuniti dalam memastikan anak-anak ini mendapat perlindungan yang sewajarnya, dijauhkan daripada penderaan, pengabaian dan eksploitasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top