Program cakna autisme dijangka memanfaat hampir 800 keluarga ATM

Program cakna autisme dijangka memanfaat hampir 800 keluarga ATM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 500 hingga 800 keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima manfaat melalui Program Cakna Autisme ATM yang dijangka dilaksana tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lebih 150 hingga 300 kanak-kanak dijangka akan menjalani ujian saringan awal bagi mengesan penyakit berkenaan.

Menurutnya, program berkenaan dianjur dengan kerjasama sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerana autisme adalah satu keadaan yang mengganggu interaksi sosial terutama dalam kalangan kanak-kanak.

“Dalam lawatan kem di seluruh negara apabila kita melaksanakan bantuan kebajikan, kita dapati ramai anak anggota (ATM) menghidap autisme.

“Kita tidak boleh biarkan anggota berhadapan cabaran ini bersendirian, jadi kita berpendapat perlu melakukan intervensi,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Pengamal Media di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata program itu akan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai tanda awal autisme sekali gus menyediakan saringan awal secara sukarela dan laluan rujukan bagi intervensi awal, selain dapat memperkukuh institusi keluarga.

Katanya, ia akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama membabitkan kesedaran dan pendidikan, diikuti fasa kedua merangkumi saringan awal serta penilaian profesional, manakala fasa ketiga memberi tumpuan kepada rujukan dan sokongan lanjut.

Menurutnya, inisiatif itu selari dengan penekanan ATM terhadap kebajikan dan kesejahteraan anggota pasukan berkenaan, sekali gus ia diharap dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung keluarga yang mempunyai anak autisme.

“Soal kebajikan dan kesejahteraan adalah antara tonggak yang kita beri penekanan kerana anggota bertugas dapat memberi tumpuan sepenuhnya jika mereka tahu keluarga mereka dijaga dengan baik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, organisasi media memainkan peranan penting dalam usaha memperkukuh ketahanan negara serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Mohamed Khaled berkata, dalam situasi geopolitik semasa, khususnya dengan konflik yang masih berlarutan di Asia Barat, setiap negara perlu sentiasa berwaspada dan memperkukuh keupayaan keselamatan.

Menurutnya, media juga berperanan memastikan masyarakat memahami peranan mereka dalam mempertahankan negara sekali gus membantu memupuk semangat patriotisme, memperkukuh identiti nasional, menyemai perpaduan rakyat dalam menghadapi ancaman serta menangkis propaganda luar.

“Keselamatan dan pertahanan bukan semata-mata tanggungjawab angkatan tentera, sebaliknya memerlukan pembabitan dan sumbangan semua rakyat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top