am@hmetro.com.my
Melaka: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memperkenalkan Program (Child Evaluation, Referral and Developmental Assessment Services) CERDAS sebagai pusat sehenti bagi mempercepatkan proses saringan serta pengesanan masalah perkembangan dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ruzita Mustafa, berkata program berkenaan dilaksanakan di Klinik Kesihatan Seri Tanjung dan mula beroperasi sejak Januari lalu.
Menurutnya, Program CERDAS diwujudkan bagi menyaring kanak-kanak yang berkemungkinan mengalami masalah perkembangan seperti autisme, lewat bercakap, masalah pertumbuhan, gangguan pendengaran dan lain-lain.
“Ia bukan sahaja menjimatkan masa giliran kanak-kanak, malah memudahkan ibu bapa berbanding perlu menunggu sehingga setahun untuk mendapatkan penilaian pakar.
“Dalam keadaan biasa, ibu bapa perlu membawa anak ke klinik kesihatan untuk saringan sebelum dirujuk kepada pakar kanak-kanak atau pakar pertuturan, dan proses mendapatkan temu janji itu mengambil masa yang lama.
“Melalui Program CERDAS, kita menyediakan konsep pusat sehenti di Klinik Kesihatan (KK) Seri Tanjung yang menghimpunkan pakar kanak-kanak, ujian pendengaran serta pakar pertuturan bagi menjalankan saringan dan pengesahan dalam tempoh satu hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Karnival Kesihatan MADANI: Jom Sihat 2026, anjuran bersama World Youth Foundation (WYF) yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi WYF, Datuk Ridhwan Mohd Ali, serta dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Mengulas lanjut beliau berkata, sejak Januari lalu hingga kini, seramai lapan kanak-kanak disaring di KK itu dan daripada jumlah itu beberapa kes dirujuk untuk penilaian lanjut serta menerima intervensi awal mengikut keperluan perkembangan masing-masing.
Katanya, program CERDAS merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Melaka yang membabitkan kerjasama hospital dan klinik kesihatan, sekali gus membantu ibu bapa mengesan masalah perkembangan anak lebih awal.
© New Straits Times Press (M) Bhd



