Program CSR PTPTN santuni pelajar Politeknik Nilai

Program CSR PTPTN santuni pelajar Politeknik Nilai

suliati@hmetro.com.my

  

Ramadan adalah peluang terbaik untuk menyemai kebaikan, memupuk rasa prihatin dan menyatukan komuniti melalui berkongsi rezeki.

Atas semangat kebersamaan ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan komitmennya menyantuni mahasiswa menerusi Program Jom Kejut Sahur 2026.

Program yang dianjurkan setiap tahun pada bulan Ramadan sejak 2024 itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN.

Ia bukan saja bertujuan membantu pelajar, malah mengeratkan silaturrahim bersama komuniti mahasiswa, serta meningkatkan imej positif PTPTN dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terbabit.

Selain itu, program Jom Kejut Sahur itu juga bertujuan untuk menjalin hubungan baik antara PTPTN, pihak IPT, pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), serta pelajar.

Ia juga menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan melalui konsep saling bantu-membantu dan berkongsi rezeki.

Bagi tahun 2026, Politeknik Nilai di Negeri Sembilan dipilih sebagai salah satu IPT bagi pelaksanaan program ini, yang memanfaatkan seramai 820 pelajar.

Program berlangsung pada 6 Mac di perkarangan Pusat Islam Politeknik Nilai itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelajar dan kakitangan politeknik.

Bermula jam 10 malam, sukarelawan PTPTN bergerak ke sekitar kolej kediaman pelajar bagi mengagihkan pek makanan.

Agihan turut dilakukan secara ‘door-to-door’ bagi memastikan tiada pelajar yang terlepas menikmati juadah sahur.

Melalui program ini, secara keseluruhan PTPTN mengagihkan pek makanan kepada 820 pelajar Politeknik Nilai sebagai juadah bersahur.

Program berkenaan dihadiri Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, Pengarah Politeknik Nilai, Dr Siti Noridah Ali dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

Hadir sama, Pengurus Besar Jabatan Operasi Cawangan, Che Anisah Aziz serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Sembilan, Yushanaliza Hamdan.

PTPTN berharap semangat saling membantu dan berkongsi rezeki ini dapat terus dipupuk dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan penghayatan Ramadan yang menekankan nilai kebersamaan dan keprihatinan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top