KUALA LUMPUR: Seramai 48 mahasiswa daripada latar belakang B40 berjaya menamatkan Program Fun(d) for Life – Edisi Universiti (FFL-Uni), sebuah program literasi kewangan selama tiga bulan anjuran bersama FWD Insurance dan Arus Academy.
Program itu memberi tumpuan kepada pelajar universiti berusia 18 hingga 24 tahun di seluruh negara bermatlamat memperkasa golongan muda dengan ilmu pengurusan kewangan yang praktikal dan relevan dengan realiti kehidupan masa kini.
Program FFL-Uni turut menawarkan geran tunai sebanyak RM3,000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan keseluruhan program.
Geran tersebut diberikan sebagai insentif untuk menggalakkan peserta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari sepanjang program dalam kehidupan sebenar, termasuk membina tabiat menabung, merancang bajet dan melabur secara bijak.

Menurut pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad Ali Imran Adnan, pengisian dalam program FFL-Uni sangat membantu pelajar sepertinya yang sedang berada dalam fasa peralihan daripada alam pengajian ke dunia pekerjaan.
Katanya, ilmu mengenai perancangan kewangan yang betul amat penting terutamanya bagi pelajar yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai cara menguruskan gaji dengan baik.
“Secara jujurnya, saya amat tertarik dengan ganjaran RM3,000. Namun selepas menyertai program ini, saya sedar bahawa kandungan dan ilmu yang ditawarkan sebenarnya jauh lebih bernilai.
“Saya bermula tanpa sebarang asas. Sebelum ini, saya langsung tidak pernah terfikir untuk mencatat perbelanjaan harian atau menyusun bajet sendiri. Tetapi selepas mengikuti program ini, saya mula merekod perbelanjaan, mengenal pasti tabiat boros dan belajar tentang disiplin dalam pengurusan kewangan.
“Saya juga mula memahami kepentingan menyediakan dana kecemasan serta perbezaan antara simpanan jangka pendek dan simpanan jangka panjang. Semua ini adalah perkara yang saya tidak pernah ambil tahu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar New Era University College, Tan Mei Ting berkata, latar belakang keluarganya yang berasal daripada golongan B40 menyebabkan beliau sering berdepan tekanan kewangan dan kurang pendedahan terhadap ilmu pengurusan wang yang betul.
“Sebelum ini, saya memang jenis yang berbelanja ikut emosi. Bila stres, saya akan membeli-belah. Apabila duit habis, saya sendiri pun tidak tahu ke mana ia dibelanjakan. Saya takut untuk semak baki dalam akaun kerana rasa bersalah.
“Tetapi semua itu berubah selepas saya menyertai program ini. Saya mula belajar menghargai setiap sen yang dibelanjakan. Kini saya lebih selesa merancang perbelanjaan, membezakan antara keperluan dan kehendak, serta tahu bila masa yang sesuai untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri.
“Bagi saya, program ini bukan sekadar mengajar tentang duit. Ia turut membina keyakinan diri dan mengubah cara saya berfikir tentang nilai kewangan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Menurut pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Yuthes Navarathinam, pengalaman menyertai program tersebut bukan sahaja membuka matanya terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang baik, ia juga mencetuskan semangat untuk menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada orang lain.
“Sebelum menyertai program ini, saya sendiri tidak tahu cara yang betul untuk mengurus kewangan. Tetapi selepas mengikuti bengkel, sesi bimbingan dan melaksanakan projek komuniti, saya mula sedar betapa pentingnya pendidikan kewangan dalam kalangan anak muda,” katanya.
Menurut Yuthes, projek komuniti yang dilaksanakan bersama rakan pasukannya memberi peluang untuk mereka berkongsi ilmu yang dipelajari kepada kelompok pelajar lain melalui sesi atas talian.
“Kami anjurkan satu sesi dalam talian khas untuk rakan-rakan universiti. Kami sediakan bahan pembelajaran, tugasan dan juga beri insentif kecil sebagai galakan supaya mereka mula mencatat serta menilai semula corak perbelanjaan mereka.
“Ramai dalam kalangan mereka mengaku ini kali pertama mereka benar-benar ambil tahu tentang bajet dan perbelanjaan harian. Bagi saya, ilmu yang kami peroleh ini perlu dikongsi agar lebih ramai mendapat manfaat,” katanya.
Program literasi kewangan unik dengan pendekatan menyeluruh

Menurut pengasas bersama Arus Academy, Alina Amir, FFL-Uni merupakan program pertama seumpamanya yang memantau peserta secara berterusan selama tiga bulan dengan pendekatan menyeluruh.
“Daripada lebih 80 permohonan, kami pilih 50 peserta melalui sesi temuduga. Seramai 48 berjaya menamatkan program ini. Mereka perlu hadiri bengkel, jalani sesi latihan bulanan, rekod perbelanjaan harian, hantar refleksi mingguan dan urus projek komuniti,” katanya.
Alina berkata, setiap peserta diberikan geran RM3,000 dalam bentuk BSN SSP dan diberikan kebebasan untuk menentukan sendiri cara penggunaan geran tersebut.
“Kami percaya selepas tiga bulan bimbingan, mereka sudah cukup bersedia membuat keputusan kewangan sendiri. Ada yang guna sebahagian kecil untuk self-reward, dan itu tidak menjadi masalah. Keseimbangan emosi dan kewangan juga penting,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan kohort pertama ini membuktikan bahawa anak muda daripada golongan B40 mampu mengurus kewangan secara bijak apabila diberi ruang dan sokongan yang sesuai.
“Saya harap program ini dapat dikembangkan kepada lebih ramai pelajar universiti yang benar-benar memerlukan. Kami di Arus Academy komited untuk pastikan mesej ini sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Permohonan bagi Kohort Kedua kini dibuka dari 8 Julai hingga 15 Ogos 2025. Ia terbuka kepada pelajar B40 dari Semenanjung Malaysia berusia 18 hingga 24 tahun. Program tersebut menawarkan bimbingan kewangan menyeluruh selama tiga bulan berserta geran RM3,000.
Untuk rekod, FFL-Uni mula dilancarkan pada tahun 2019 oleh Arus Academy dengan pendekatan holistik melalui permainan, infografik, video dan aktiviti DIY. Sehingga kini, lebih 5,000 pelajar telah menyertai program ini secara bersemuka dan dalam talian.
Mereka yang berminat untuk memohon boleh melayari pautan https://www.instagram.com/fundforlife_uni/. – UTUSAN