Abu Dhabi: Abu Dhabi telah melaksanakan lebih 1,000 pemindahan organ sejak 2017 di bawah program “Hayat”, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai hab perubatan serantau dan global, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Program Kebangsaan untuk Pendermaan dan Pemindahan Organ dan Tisu Manusia yang dilancarkan pada 2017 merekodkan 1,090 pemindahan sehingga 2024, dengan rekod 290 prosedur tahun lalu sahaja.
Prosedur itu termasuk tujuh pemindahan jantung, 142 buah pinggang, 117 hati, 22 paru-paru dan dua pankreas.
“Mencapai kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Abu Dhabi untuk memberikan rawatan bertaraf dunia.
“Melalui infrastruktur, bakat dan inovasi, emirat ini telah menjadi hab pemindahan organ di rantau ini dan di peringkat antarabangsa,” kata Timbalan Setiausaha Jabatan Kesihatan – Abu Dhabi, Dr Noura Khamis Al Ghaithi.
Beliau menggesa orang ramai menyertai program “Hayat” sambil menegaskan bahawa seorang penderma boleh menyelamatkan nyawa ramai pesakit.
Pencapaian ini, yang diumumkan sempena Hari Derma Organ Sedunia, mencerminkan kemajuan Abu Dhabi dalam prosedur kompleks termasuk pemindahan pelbagai organ dan pemindahan dibantu robot, yang disokong oleh empat pusat utama — Cleveland Clinic Abu Dhabi, Sheikh Khalifa Medical City (SKMC), Burjeel Medical City (BMC) dan Sheikh Shakhbout Medical City (SSMC).
© New Straits Times Press (M) Bhd