Petaling Jaya: Semua sektor ekonomi termasuk pelancongan yang terjejas teruk sebelum ini serta aktiviti sosial akan dibuka sepenuhnya, sebaik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata program imunisasi menyeluruh ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik COVID-19.
“Apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai. Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan.
“Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu.
“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19.
“Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini,” katanya ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.-BH
Malay News
National Desk



