Program Kenduri Sekampung wadah erat silaturahim, semangat gotong-royong

Program Kenduri Sekampung wadah erat silaturahim, semangat gotong-royong

JERANTUT: Program Kenduri Sekampung di Felda Jengka 24 di sini menjadi wadah mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan warga peneroka di tanah rancangan tersebut.

Acara yang menghimpunkan lebih 1,000 penduduk membabitkan pelbagai lapisan itu diserikan dengan jamuan makanan kampung dan kerjasama komuniti dalam menyediakan hidangan secara bergotong-royong.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, berkata, program itu bukan sahaja menghidupkan kembali budaya kenduri kampung, malah menjadi simbol kesatuan masyarakat.

“Kenduri Sekampung ini adalah usaha bersama untuk mengeratkan hubungan sesama peneroka. Ia mengingatkan kita kepada nilai gotong-royong yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat Felda sejak dahulu,” katanya di sini.

Razak menambah, semangat kebersamaan yang ditunjukkan melalui program itu diharap dapat diteruskan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk menjaga kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan kampung.

“Program ini turut mendapat sambutan meriah daripada generasi muda yang tampil membantu menyediakan juadah, sekali gus membuktikan tradisi lama masih relevan dalam membina perpaduan masyarakat hari ini,” ujarnya.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada lapan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Jengka 24. – UTUSAN

Scroll to Top