Kuala Lumpur: Program MYStartup Accelerator anjuran Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) terus memperkukuh ekosistem inovasi negara apabila hampir RM5.5 juta pelaburan berjaya dicetuskan melalui lima kohort sejak dilancarkan.
Menerusi Kohort 5 yang berlangsung semalam, lapan syarikat pemula niaga tempatan terpilih mempamerkan teknologi inovatif dalam pelbagai sektor termasuk kecerdasan buatan (AI), akuakultur, infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan teknologi runcit pintar.
Sebahagian daripada syarikat tersebut turut menerima pembiayaan pelaburan bernilai RM800,000 daripada NEXEA, firma modal teroka yang menjadi rakan kongsi strategik kepada Cradle. Lima syarikat pula menerima ganjaran tunai daripada Cradle.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, program itu telah membuka peluang kepada lebih 50 syarikat pemula niaga sejak dimulakan, sekali gus memacu hasrat negara untuk menjadi hab syarikat teknologi serantau.
“Pengalaman daripada lima kohort pertama memberikan kami pemahaman lebih mendalam tentang cabaran dan keperluan syarikat pemula tempatan. Fokus kami kini adalah memperluaskan jangkauan program ini ke seluruh negara,” katanya.
Antara syarikat tumpuan Kohort 5 ialah Paix Tech Sdn Bhd, yang menawarkan ejen AI bagi membantu syarikat besar mengurus bayaran bil utiliti dengan lebih cekap; Ocean Rich Resources Sdn Bhd yang memperkenalkan kaedah baharu ternakan tiram yang mampu melipatgandakan hasil; dan Recharge Xolutions Sdn Bhd, yang menyediakan infrastruktur EV bersepadu bersama tenaga boleh baharu dan penyelesaian ESG.
Turut mencuri tumpuan ialah Easym Merchandising, Tagy, Lekir Tech, Pewarisan dan uBITTO, yang kesemuanya mengetengahkan pendekatan digital dan pintar dalam pelbagai aspek perniagaan dan gaya hidup moden.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NEXEA, Ben Lim berkata, kadar pertumbuhan syarikat dalam Kohort 1 dan 2 amat memberangsangkan, dengan 85 peratus mencatat pertumbuhan pendapatan antara 50 hingga 100 peratus setahun.
“MYStartup Accelerator bukan sekadar program bimbingan, ia kini menjadi platform penting yang membantu pengasas membina perniagaan berskala dan mampan,” katanya.
Cradle yang beroperasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga mengurus platform MYStartup – gerbang tunggal negara bagi pembiayaan, pembangunan kapasiti dan akses pasaran kepada syarikat pemula niaga.
Sejak ditubuhkan pada 2003, Cradle sudah membiayai lebih 1,100 syarikat pemula teknologi dan mencatat kadar pengkomersialan tertinggi dalam kalangan geran kerajaan.
Demo Day Kohort 5 bukan sahaja meraikan kejayaan syarikat terpilih, tetapi turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam melahirkan generasi baharu usahawan teknologi tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd