Program Ribbon Kuning beri peluang kedua buat belia banduan

Program Ribbon Kuning beri peluang kedua buat belia banduan

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Penghuni penjara perlu diberi latihan kemahiran bagi mengisi kekurangan tenaga kerja mahir negara terutama dalam industri sukan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyeru semua pemain industri supaya mengenepikan stigma terhadap golongan berkenaan, sebaliknya memberi mereka peluang kedua dalam kehidupan.

Menurutnya, program kemahiran ditawarkan antaranya terapi urutan golf dan kursus asas kedi dilihat mampu memenuhi permintaan tenaga kerja di dalam industri golf tempatan.

“Kita kena tengok prospek (banduan) ini ada pelbagai kesalahan, ada yang serius, ada yang tidak, malah ada (pesalah) di Penjara Wanita Kajang ini masih menunggu keputusan penghakiman.

“Sebab itu, program Ribbon Kuning ini adalah peluang kedua, jadi kita hendak pastikan tiada stigma ke atas mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra YB Menteri Belia dan Sukan Bersama Peserta Projek Reben Kuning Tahun 2024 di Penjara Wanita Kajang, di sini, hari ini.

Dalam program itu, beliau menyampaikan sijil kepada 20 penghuni belia di Penjara Wanita Kajang kerana berjaya menyempurnakan kursus urutan terapi golf dan kursus asas kedi.

Menurutnya, KBS percaya pemain industri terutama berkaitan golf akan memberi peluang kepada tenaga mahir terlatih menerusi program Ribbon Kuning bagi mengisi kekosongan sedia ada.

Katanya, pihaknya akan terus fokus memberi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan industri sukan selari dengan fokus sebagai badan induk kesukanan negara.

“Melalui perbincangan dengan persatuan golf, kami mendapati mereka memerlukan ramai kedi untuk bekerja. Justeru. ada matching (permintaan), jadi kita mesti letak bajet supaya industri mendapat pelatih berkemahiran.

“Kita kena cuba dulu, kita jangan takut, jangan ada stereotaip atau prejudis. Kalau berjaya, kita akan teruskan tetapi kalau tidak berjaya, kita akan cuba lagi konsep yang lain pula.

“Kerajaan sekarang beri fokus kepada TVET kerana sistem pendidikan untuk golongan sudah sudah berubah, ramai mahu ekonomi gig, mereka tidak mahu belajar beberapa tahun (sebelum kerja), jadi kita beri kemahiran ikut trend semasa,” katanya.

Menurutnya, KBS juga akan melaksanakan Program Rakan Muda di penjara berikutan jumlah golongan banduan dalam kalangan belia agak ramai.

Katanya, Rakan Muda adalah program pengisian masa lapang di mana pelatih akan terbabit dalam progam antaranya Rakan Mahir, Rakan Aktif dan Rakan Prihatin.

“Kami mahu belia berkemahiran untuk berkongsi kemahiran mereka bersama individu di dalam penjara.

“Saya rasa inilah hala tuju KBS di mana kita tidak mahu hanya fokus kepada kursus kepimpinan yang menjaga 10 peratus, tetapi kita mahu fokus kepada 90 peratus, semua diberi peluang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top