Program vaksinasi untuk penggiat industri pelancongan Melaka

Program vaksinasi untuk penggiat industri pelancongan Melaka

bhnews@bh.com.my

AYER KEROH: Melaka melaksanakan program vaksinasi khusus untuk penggiat industri pelancongan di Melaka sebagai persediaan menggerakkan semula industri berkenaan, tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata langkah itu penting bagi memastikan mereka mampu memajukan industri itu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu, ditamatkan.

Katanya, pelbagai pihak terbabit dalam industri itu sudah mengemukakan nama untuk menerima vaksin dan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi merealisasikan program itu.

“Ekonomi Melaka bergantung kepada industri pelancongan dan kita berharap pekerja sektor industri pelancongan diberikan vaksin.

“Kita mesti menyediakan mereka untuk menghadapi keadaan apabila sektor pelancongan dibenarkan semula,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pemberian vaksin dianjurkan Pertubuhan Pengamal Perubatan Islam Ibnu Sina Cawangan Melaka di Masjid Al-Alami, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat pertubuhan itu, Datin Dr Rina Salwani.

Program itu dijayakan 20 doktor Islam yang memberikan suntikan 420 dos vaksin kepada penerima vaksin yang didaftarkan melalui pelbagai masjid di sekitar Ayer Keroh.

Ia diadakan pada setiap Sabtu secara bergilir di Masjid Al-Alami dan tiga masjid lain di Asahan, Krubong dan Jasin mulai 31 Julai lalu hingga 6 Oktober depan.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga sudah meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) menilai semula permohonan supaya rakyat negeri ini yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan merentas daerah.

“Kita minta MKN melihat semula nilai ambang, iaitu mereka yang sudah mendapat dos kedua dibenarkan merentas daerah kerana ini akan membantu memajukan semula industri pelancongan yang semakin tenat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, nilai ambang katil unit rawatan rapi (ICU) yang digunakan pesakit COVID-19 mesti kurang daripada 70 peratus juga harus dilihat semula oleh MKN kerana di negeri ini hanya Hospital Melaka yang mempunyai ICU untuk pesakit terbabit.

Katanya, berbanding negeri lain yang mempunyai beberapa hospital yang menyediakan ICU untuk pesakit COVID-19, kadar penggunaan katil ICU di Hospital Melaka sekarang sudah hampir mencecah 100 peratus.

Mengenai pemberian vaksin, beliau berkata setakat kelmarin, sebanyak 359,817 dos pertama sudah diberikan, iaitu 53.12 peratus daripada keseluruhan penduduk Melaka.

Sebanyak 201,859 dos kedua sudah diberikan (29.8 peratus daripada keseluruhan penduduk).

Jumlah pendaftaran penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera mencecah 606,681 (89.6 peratus).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top