‘Programmer’ wanita rugi RM2.33 juta gara-gara ‘Love Scam’

‘Programmer’ wanita rugi RM2.33 juta gara-gara ‘Love Scam’

GEORGE TOWN : Seorang wanita tempatan kerugian RM2.33 juta selepas menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian atau ‘love scam’ membabitkan seorang lelaki yang menyamar sebagai warga Singapura yang menetap di Kanada.

Susulan kejadian itu, mangsa yang berusia 53 tahun tahun dan bekerja sebagai pengurus ‘programmer’ di sebuah kilang di Bayan Lepas tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 8 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa mengenali suspek yang memperkenalkan diri sebagai Perry Chen melalui ibu saudaranya pada Februari 2024.

“Ibu saudara mangsa berkenalan dengan suspek semasa menghadiri seminar di Kuala Lumpur dan berniat menjodohkan mereka. Sejak itu, mangsa dan suspek hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Alwi berkata, pada Mac 2024, suspek mendakwa ada menjalankan perniagaan pemasangan grid elektrik dengan kerajaan Oman dan meminta bantuan mangsa untuk membuat pindahan wang kononnya bagi pembelian bahan mentah.

Menurutnya, mangsa diminta untuk mengakses akaun bank milik suspek, namun, pindahan tersebut gagal kerana ia melibatkan negara berbeza.

“Suspek kemudiannya meminta mangsa membayar caj perkhidmatan bank terlebih dahulu dengan janji akan membayar semula. Tertarik dengan janji manis suspek, mangsa kemudian membuat 58 transaksi ke sembilan akaun bank tempatan berbeza berjumlah RM1.93 juta antara 28 Mac hingga 18 Ogos 2024,” kata Mohd. Alwi.

Tambahnya, pada September tahun yang sama, suspek memaklumkan telah mendepositkan cek bernilai USD404,500 (RM1.7 juta) ke dalam akaun sebuah bank di Oman untuk membayar semula wang mangsa.

Ujar beliau, mangsa kemudian dihubungi oleh seorang individu yang mengaku sebagai pegawai bank dan meminta bayaran caj bagi menunaikan cek tersebut.

“Justeru, antara tempoh 25 September 2024 hingga 4 Julai 2025, mangsa seterusnya membuat 13 lagi transaksi ke dalam lima akaun bank tempatan berbeza berjumlah RM399,407.

“Mangsa akhirnya sedar bahawa dia ditipu selepas mendapati alasan bayaran caj bank itu tidak munasabah sebelum dia akhirnya tampil untuk membuat laporan polis,” katanya yang memaklumkan, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN

 

Scroll to Top