Projek jambatan darat Thailand berdepan laluan sukar

Projek jambatan darat Thailand berdepan laluan sukar

BANGKOK – Projek Jambatan Darat Thailand yang dipromosikan sebagai strategi ekonomi baharu negara itu berdepan cabaran besar apabila persoalan mengenai daya maju komersial, kesan alam sekitar dan penerimaan masyarakat tempatan semakin kuat dibangkitkan.

Projek bernilai sehingga satu trilion baht (RM121 bilion) itu pada asalnya diperkenalkan sebagai laluan pintas yang menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Selat Melaka serta meletakkan Thailand sebagai hab perdagangan dan logistik serantau.

Idea asas projek itu ialah kargo akan dipunggah di sebuah pelabuhan laut dalam di pantai Andaman, dibawa merentasi selatan Thailand menggunakan rel dan jalan raya, sebelum dimuatkan semula ke kapal di sebelah Teluk Thailand.

Kerajaan mendakwa laluan itu mampu menjimatkan masa penghantaran sehingga empat hari, namun pengkritik berkata, anggaran tersebut belum mengambil kira keseluruhan proses pemindahan kargo.

Peta menunjukkan cadangan laluan Projek Jambatan Darat Thailand yang menghubungkan pantai Andaman di Ranong dengan pantai Teluk Thailand di Chumphon, melibatkan koridor lebuh raya, rel dan jajaran terowong. Foto Bangkok Post Graphics

Peta menunjukkan cadangan laluan Projek Jambatan Darat Thailand yang menghubungkan pantai Andaman di Ranong dengan pantai Teluk Thailand di Chumphon, melibatkan koridor lebuh raya, rel dan jajaran terowong. Foto Bangkok Post Graphics

Penjimatan masa dipersoal

Penganalisis berpendapat, perjalanan kapal bukan hanya dinilai berdasarkan jarak pelayaran.

Setiap proses tambahan seperti menunggu giliran berlabuh, memunggah kontena, pemeriksaan kastam, pemindahan melalui kereta api atau lori, penyimpanan sementara dan pemuatan semula ke kapal lain boleh menambah kos serta melambatkan perjalanan.

Ini berbeza dengan laluan Selat Melaka yang membolehkan kapal meneruskan pelayaran tanpa perlu menghentikan perjalanan untuk proses pemindahan kargo.

Bagi kapal kontena besar yang mampu membawa antara 18,000 hingga 24,000 kontena dalam satu pelayaran, pemindahan muatan melalui darat juga memerlukan jumlah perjalanan kereta api yang sangat besar.

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada syarikat perkapalan benar-benar akan memilih laluan Jambatan Darat kecuali ia terbukti jauh lebih murah, lebih pantas atau mempunyai kepentingan strategik yang jelas.

Koridor ekonomi baharu

Namun, kerajaan Thailand kini dilihat cuba menampilkan projek itu bukan sekadar laluan pintas perkapalan, sebaliknya sebagai tulang belakang kepada Koridor Ekonomi Selatan.

Di bawah konsep tersebut, pelabuhan hanya menjadi satu bahagian daripada ekosistem lebih besar yang merangkumi zon ekonomi khas, kawasan perindustrian, hab logistik, infrastruktur tenaga dan sektor pembuatan berorientasikan eksport.

Jika berjaya, projek itu boleh menarik pelaburan jangka panjang, terutama ketika banyak syarikat mencari lokasi alternatif dalam strategi kepelbagaian rantaian bekalan di rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun, cabarannya besar kerana selatan Thailand belum mempunyai kepadatan industri, rangkaian pembekal dan tenaga kerja mahir seperti Koridor Ekonomi Timur.

Membina pelabuhan dan landasan sahaja tidak mencukupi jika ekosistem industri yang menyokong projek tersebut gagal diwujudkan.

Penerimaan penduduk jadi ujian

Selain isu ekonomi, projek itu turut berdepan cabaran penerimaan masyarakat tempatan.

Selatan Thailand mempunyai sejarah panjang penentangan terhadap projek industri berskala besar, termasuk loji arang batu, paip gas, pelabuhan laut dalam dan kawasan industri berat.

Bagi komuniti pesisir pantai, kebimbangan bukan hanya berkaitan alam sekitar, tetapi juga kelangsungan hidup.

Nelayan, pengusaha pelancongan dan peniaga kecil bimbang projek itu boleh mengubah landskap ekonomi tempatan serta menjejaskan sumber pendapatan sedia ada.

Tanpa penerimaan masyarakat, projek berskala besar seperti Jambatan Darat berisiko tersekat walaupun mempunyai sokongan politik dan pelaburan besar.

Saingan serantau

Thailand juga tidak bergerak sendirian dalam perlumbaan menjadi hab logistik serantau.

Malaysia sedang membangunkan Laluan Rel Pantai Timur, Singapura pula memperluas Pelabuhan Mega Tuas, manakala Indonesia turut memperkukuh rangkaian pelabuhan dan infrastruktur maritimnya.

Keadaan itu menimbulkan risiko lebihan infrastruktur di Asia Tenggara jika terlalu banyak negara mengejar aliran perdagangan masa depan yang sama.

Penganalisis menegaskan, kejayaan Projek Jambatan Darat Thailand bergantung kepada ketelusan kerajaan dalam aspek kajian daya maju, pembiayaan, kesan alam sekitar, pengambilan tanah dan penganugerahan kontrak.

Tanpa penjelasan menyeluruh, projek itu bukan sahaja sukar meyakinkan pelabur, malah boleh mengundang penolakan rakyat.

Akhirnya, Jambatan Darat Thailand hanya mampu menjadi pemangkin ekonomi jika ia benar-benar terbukti berdaya maju, diterima masyarakat dan tidak sekadar menjadi satu lagi projek mega yang lebih besar cita-citanya berbanding manfaat sebenar. – Agensi

Scroll to Top