Kuala Lumpur: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 87 peratus kepada RM9.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu.
Peningkatan ketara itu disokong oleh lonjakan hasil kumpulan sebanyak 46 peratus kepada RM319.2 juta berbanding tempoh sama pada tahun 2025, dipacu oleh sumbangan kukuh daripada Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan & Alam Sekitar (ECE).
MRCB dalam kenyataan berkata, prestasi luar biasa bahagian ECE itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh projek LRT3 yang kini telah siap sepenuhnya serta peningkatan pendapatan daripada projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
“Kumpulan menjangkakan pendapatan pembinaan akan terus meningkat sepanjang tahun ini, susulan kerja-kerja pembinaan lima stesen LRT3 yang dikembalikan semula serta kerja infrastruktur berkaitan yang akan bermula pada suku semasa,” katanya.
Menurutnya, bagi Bahagian Pembangunan & Pelaburan Hartanah, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM40.8 juta dengan kerugian operasi sebanyak RM8.9 juta bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, susutan hasil dan peningkatan kerugian operasi itu disebabkan oleh pengurangan sumbangan daripada projek yang telah siap seperti Sentral Suites, VIVO 9 Seputeh, TRIA 9 Seputeh, dan Alstonia di Bukit Rahman Putra.
“Meskipun berdepan cabaran, bahagian hartanah itu menyasarkan jualan sebanyak RM800 juta bagi tahun 2026, yang mana jumlah berkenaan akan dibahagikan secara sama rata antara projek domestik dan antarabangsa.
“Fokus antarabangsa kumpulan kini tertumpu kepada projek MARIS dan VISTA di Gold Coast, Australia, serta The Symphony Centre yang terletak di New Zealand bagi mengukuhkan kedudukan global Kumpulan.
“Di peringkat tempatan, MRCB merancang untuk melancarkan hartanah bernilai RM2.2 bilion pada tahun ini, namun pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, unit ECE mencatatkan hasil RM257.9 juta, meningkat 69 peratus berbanding suku pertama 2025, manakala keuntungan operasinya melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM38.6 juta.
Selain LRT3 dan KSSA, pendapatan turut disumbangkan oleh projek tebatan banjir Muara Sungai Pahang Fasa 3 dan Sungai Langat Fasa 2, serta kerja-kerja pelebaran lebuh raya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Fasa 1.
MRCB kini terus menumpukan usaha melaksanakan baki tempahan kerja termasuk projek bernilai RM5.5 bilion yang diperoleh tahun lalu, selain kekal aktif membida tender terbuka bernilai RM10 bilion merangkumi pelbagai segmen infrastruktur pengangkutan dan kemudahan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




