Projek MAIPs Ndengu Revolution terima pengiktirafan IFRC

Projek MAIPs Ndengu Revolution terima pengiktirafan IFRC

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Projek ‘MAIPs Ndengu Revolution’ di wilayah Kitui, Kenya mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC).

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan berkata, pengiktirafan itu bagi menghargai sumbangannya bersifat transformatif terhadap kehidupan masyarakat setempat rentan pasca kemarau.

“Pengiktirafan ini dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Serantau IFRC bagi Benua Afrika, Charles Mbeeta Businge dalam sesi perbincangan meja bulat bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Perbincangan itu dijalankan bersempena program Safar Ilmi MAIPs 2025 yang berlangsung di Nairobi, Kenya,” katanya hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad; Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Charles Mbeeta dalam ucapannya berkata, MAIPs berjaya membuktikan bahawa instrumen zakat boleh berkembang dan menjadi pemacu usaha pemulihan komuniti antarabangsa dalam konteks bencana alam.

“Projek yang bermula sejak 2018 itu sebagai contoh terbaik bagaimana filantropi Islam dapat disepadukan dalam agenda kemanusiaan global dengan penuh profesionalisme dan integriti.

“MAIPs melalui Projek Ndengu Revolution tersebut telah membangunkan pendekatan pemulihan jangka sederhana dan panjang kepada komuniti yang terjejas akibat kemarau di Kenya,” katanya.

Menurutnya, bantuan seperti benih tanaman, kekacang, input pertanian, sokongan sara hidup, dan penguatan komuniti akan membina daya tahan kendiri untuk jangka panjang.

Katanya, usaha itu turut didokumenkan dalam beberapa laporan serta jurnal antarabangsa seperti “The Transformative Power of International Zakat : How zakat support from Malaysia helped communities in Kenya recover from drought” dan “Your duty for their dignity : The transformative power of international zakat financing.

Pegawai Kanan IFRC bagi Kewangan Inovatif, Filantropi Islam dan Sektor Swasta, Ramya Gopalan berkata, MAIPs memainkan peranan penting dalam memperluas kefahaman terhadap konsep zakat sebagai instrumen pembangunan global yang responsif.

“MAIPs juga terlibat dalam penubuhan Kumpulan Penasihat Filantropi Islam di bawah IFRC yang berfungsi merangka panduan dasar dan garis sokongan bagi pelaksanaan bantuan kemanusiaan berteraskan prinsip Islam,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top