Projek pembangunan persekutuan di Kelantan perlu kerjasama negeri

Projek pembangunan persekutuan di Kelantan perlu kerjasama negeri

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Projek pembangunan persekutuan di negeri Kelantan memerlukan beberapa penyelesaian untuk mengatasi cabaran di peringkat pra pelaksanaan projek.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata antara isu pelaksanaan adalah kebenaran merancang, ketersediaan tapak projek, utiliti, demografi dan akses masuk.

Katanya, antara projek pembangunan persekutuan yang memerlukan kerjasama dari pihak negeri adalah Projek Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan Lingkaran Tengah Utama yang mana proses PBT bagi kebanyakan pakej masih belum selesai.

“Begitu juga dengan projek pembinaan fasiliti untuk Sukan Malaysia (Sukma) yang mana kerja-kerja tanah bagi pembangunan infrastruktur dan pembangunan jalan masuk utama ke Kompleks Sukan Bukit Merbau mengguna pakai peruntukan negeri.

“Selain itu, agenda pembasmian kemiskinan di Kelantan juga mendapat perhatian dan fokus utama kerajaan melalui inisiatif kesejahteraan rakyat.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab untuk menyediakan dan memantau data kemiskinan bagi agensi pemberi bantuan secara langsung kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berstatus miskin dan miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan di Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara inisiatif kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan bersama agensi pemberi bantuan di Kelantan yang bertujuan menoktahkan sifar miskin tegar termasuklah program Didik Kasih Madani (dKasih) dan program Kasih Ihsan Madani (i-care4U).

Katanya, seiring inisiatif berkenaan, usaha aktiviti pemutihan dan pasukan taskforce peringkat agensi bersama agensi kerajaan di peringkat negeri turut menampakkan hasil untuk memperincikan keperluan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah seterusnya berjaya mengeluarkan mereka dari status miskin tegar.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM2.81 bilion di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi negeri Kelantan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilapor berkata, jumlah itu meliputi pelaksanaan 92 projek baharu yang diluluskan pada tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top