Melaka: Projek “sakit” di bawah kendalian Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara menunjukkan penurunan daripada 6.81 peratus atau sebanyak 53 projek pada Jun tahun lepas kepada 4.13 peratus atau 36 projek, setakat ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, hanya satu projek sakit dikenal pasti di Melaka dan KKR meletakkan petunjuk prestasi utama bagi projek sakit di bawah kendalian KKR dan JKR di seluruh negara dapat dikurangkan kepada tiga peratus pada November ini.
Beliau berkata antara punca dikenal pasti berlaku projek sakit berkenaan ialah kelemahan pengurusan projek, masalah aliran kewangan serta isu kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan di tapak.
“Punca lain yang menyebabkan projek sakit ialah isu pengambilan balik tanah dan bayaran pampasan, masalah kelulusan dan kelewatan pengalihan utiliti seperti air, elektrik, pembentungan dan telekomunikasi serta masalah cuaca dan bencana alam.
“Bagaimanapun, jumlah projek berkenaan dapat dikurangkan menerusi pelbagai inisiatif yang dilakukan KKR dan JKR termasuk pemantauan rapi oleh Pegawai Penguasa (SO) serta lawatan turun padang (TURPA) oleh pengurusan atasan JKR termasuk kepimpinan tertinggi KKR, iaitu Menteri Kerja Raya, saya sendiri dan Ketua Pengarah Kerja Raya dengan memahami isu-isu berbangkit,” katanya sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 3 Tahun 2026, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Ibrahim Esa di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Ahmad berkata bagi menangani isu kelewatan dan pelbagai cabaran dalam pelaksanaan projek kerajaan, KKR melalui JKR melaksanakan beberapa inisiatif strategik berasaskan teknologi, termasuk penggunaan Building Information Modelling (BIM) serta Sistem Modular dan Pratuang (Modular and Pre-Cast System).
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan mempercepat pelaksanaan kerja pembinaan serta meningkatkan kawalan terhadap kos, tempoh dan kualiti projek.
KKR melalui JKR juga, katanya, komited menambah baik kaedah perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan kawalan projek secara berterusan.
“Penekanan akan diberikan kepada perancangan prapembinaan yang lebih rapi, meliputi pengesahan skop projek, kesiapsiagaan tapak, penyelarasan reka bentuk, kecukupan peruntukan, status pengambilan tanah, kelulusan teknikal serta keupayaan rantaian bekalan, sebelum sesuatu projek dimulakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 871 projek bernilai RM50.6 bilion yang diamanahkan pelbagai kementerian kepada KKR dan JKR kini dalam fasa pembinaan di seluruh negara dengan 828 projek di bawah seliaan JKR Malaysia, manakala 45 projek di bawah JKR Sabah dan JKR Sarawak.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 560 projek atau 64.29 peratus berjalan lancar dengan 256 projek (29.39 peratus) berada dalam kategori awal daripada jadual dan 304 projek (34.90 peratus) pula dalam kategori mengikut jadual.
© New Straits Times Press (M) Bhd

