'Proses kehidupan kita, hanya yang lalui sahaja tahu' – Elyana

'Proses kehidupan kita, hanya yang lalui sahaja tahu' – Elyana

norhayati_hmetro@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Elyana, 38, menarik perhatian wargamaya di akaun Instagram (IG) miliknya dengan perkongsian foto berkepala botak berserta kapsyen menyentuh hati.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal menerusi luahan ditulis memaklumkan dalam proses kehidupan manusia, hanya individu itu sahaja tahu apa yang dilaluinya.

“Proses kehidupan kita, hanya kita yang lalui, hanya kita yang tau..bermati-matian berusaha untuk nampak tenang dan waras tanpa bercerita.

“Pesan ku untuk teman seperjuangan.. kau berharga dan kau cukup layak untuk selalu dirayakan…tidak peduli dalam kurang atau lebih mu.

“Tetaplah menjadi orang yang baik walau mereka menghina mu tidak baik,” katanya penuh maksud tersirat pada kapsyen dikongsikan di hantaran itu.

Tulis Elyana lagi, sekiranya ada pihak mendengar cerita buruk mengenai dirinya, fahamilah yang dia juga pernah baik dengan mereka tetapi ia tidak diceritakan.

“Jika akhirnya kamu mendengar cerita buruk tentang diriku dari mereka, fahamilah aku juga pernah baik pada mereka, cuma mereka tidak menceritakan bahagian itu,” ujarnya berteka-teki.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata rakan selebriti serta netizen mendoakan Elyana cepat sembuh, sihat dan terus bersemangat untuk berjuang melawan penyakit dihadapinya itu.

“Ya Allah, sembuhkanlah dia dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit. Kurniakan dia kekuatan dan kesabaran,” tulis netizen.

“Semoga Allah angkat segala kesakitan dan berikan kesihatan luar biasa. Terima kasih jadi orang baik,” ujar warganet

“The real fighter… moga terus sihat dan kuat kak,” kata seorang pengguna media sosial.

“Semoga dipermudahkan dan lekas sembuh sis,” ujar pengikutnya di IG.

Pada 2017 lalu ketika menyertai program Gegar Vaganzav(GV), Elyana pernah mendedahkan dirinya adalah penghidap kanser limfoma tahap empat.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 14, dan anak angkat,

Cahaya Ramadhani, 6.

Bagaimanapun, kira-kira dua tahun lalu Elyana berkongsi berita gembira apabila dia disahkan bebas daripada penyakit kanser limfoma itu yang dihidapinya selama 11 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top