Proses naturalisasi Gallifuoco kini tunggu lampu hijau FAM

Proses naturalisasi Gallifuoco  kini tunggu lampu hijau FAM

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertahanan Harimau Malaya tampak bakal semakin kebal apabila pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City), Giancarlo Gallifuoco mengesahkan proses naturalisasinya semakin hampir selesai dan kini hanya menunggu kelulusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain kelahiran Australia berusia 32 tahun itu mendedahkan perkembangan berkenaan menerusi laman sosial X, sekali gus memberi bayangan penantiannya untuk menyarung jersi kebangsaan mungkin berakhir tidak lama lagi.

Gallifuoco berkata, peguam yang menguruskan proses naturalisasinya sudah mengemukakan dokumen berkaitan kepada FAM dan kini hanya menunggu maklum balas daripada pasukan perundangan badan induk itu sebelum proses berkenaan diteruskan.

“Kita sekarang sedang menunggu surat daripada pasukan perundangan FAM untuk kelulusan dan kemudian semuanya selesai. Akhirnya, saya anak Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di X.

Sebelum ini, bekas pemain remaja Tottenham Hotspur itu memaklumkan proses naturalisasinya sedang berjalan dan beberapa kelulusan diperlukan daripada FAM sebelum permohonan berkenaan dibawa ke peringkat seterusnya.

Sekiranya proses itu berjalan lancar dan dia memenuhi semua syarat kelayakan untuk mewakili negara, Gallifuoco berpotensi menjadi tambahan penting kepada benteng Harimau Malaya yang sedang diperkuatkan menerusi kehadiran pemain berkualiti.

Lebih menarik, Gallifuoco berpeluang bergandingan dengan pertahanan warisan negara, Brad Tapp yang mencuri perhatian menerusi persembahan mantap bersama Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA, baru-baru ini.

Tapp memainkan peranan penting membantu Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga, selain memastikan gawang negara tidak dibolosi sepanjang kejohanan berkenaan.

Jika Gallifuoco turut mendapat lampu hijau untuk mewakili negara, gabungan kedua-dua pemain itu berpotensi memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan dalam memperkukuh benteng pertahanan Harimau Malaya.

Selain Gallifuoco, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva turut muncul sebagai antara pemain terbaharu yang mendapat perhatian dalam usaha memperkukuh skuad kebangsaan menerusi proses naturalisasi.

Gallifuoco yang membantu KL City menjulang Piala Malaysia pada 2021 itu kini hanya perlu menunggu perkembangan lanjut daripada FAM sebelum impiannya untuk bergelar rakyat Malaysia menjadi kenyataan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top