Proses sulh gagal, Nubhan tidak hadir ke mahkamah

Proses sulh gagal, Nubhan tidak hadir ke mahkamah

am@hmetro.com.my

Seremban: Proses sulh atau mediasi untuk tuntutan harta sepencarian membabitkan penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad dan bekas isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek di Unit Sulh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, di sini, hari ini, tidak mencapai kata putus.

Peguam Syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Dr Afifah, 36, atau dikenali Dr Fie memaklumkan, defendan, Ahmad Nubhan, 40, tidak hadir pada prosiding berkenaan.

“Proses sulh berjalan hari ini yang mana Pegawai Sulh mendengar keterangan pihak plaintif berkenaan isu ini sewaktu prosiding sulh. Sepatutnya dihadiri kedua-dua pihak.

“Sebab itu yang diunjurkan Islam, yang terbaik untuk berbincang. Kegagalan defendan untuk hadir hari ini menyebabkan matlamat sulh tak dapat dicapai,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, di sini.

Terdahulu Dr Fie ditemani ibu bapanya tiba kira-kira jam 11 pagi sebelum masuk ke kamar Unit Sulh diteman Puteri Ummi Kartini dan dilihat keluar hampir sejam kemudian.

Puteri Ummi Kartini berkata, selepas sulh, pihaknya akan buat membuat serahan saman tuntutan harta sepencarian kepada peguam defendan dan pihak defendan perlu memasukkan pembelaan.

“Peguam atau defendan sendiri kena hadir untuk memasukkan pembelaan di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban. Mahkamah sudah menetapkan tarikh untuk sebutan pada 3 Februari depan, jam 10 pagi.

“Kalau hari ini tak boleh datang, harap peguam syarie yang mewakilinya boleh darang sebab kita tak terima apa-apa notis ketidakhadiran defendan walaupun serahan notis sulh sudah dibuat kepada pihak defendan,” katanya.

Sementara itu, Dr Fie ketika ditemui turut menyatakan rasa terkejut kerana bekas suaminya itu tidak hadir memandangkan proses berkenaan demi kebaikan anak- anak mereka.

“Cuma saya harapkan dia hadir kalau boleh untuk prosiding akan datang. Bagi kerjasama sebab saya nak cepatkan untuk anak nak sekolah, kami tiada tempat tinggal, buku anak sekolah lagi.

“Saya dah hantar (maklumkan) semua buku sekolah, sebab dalam WhatsApp sekolah, nama saya. Jadi apa-apa maklumat mengenai sekolah, saya yang dapat.

“Jadi dia tiada maklumat itu, saya dah ‘forward’ pada dia semua, tetapi senyap, tiada ada respon. Jadi buku anak dah beli ke? Baju sekolah anak dah beli ke? Anak nak sekolah lagi beberapa hari,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top