redzuan.muharam@hmetro.com.my
Jelebu: Biarpun hanya imam jemputan, pengurusan Masjid Qaryah Kampung Chennah menghargai usaha empat ‘prospek’ (banduan) dari Penjara Jelebu, di sini yang pernah bergilir-gilir mengimamkan solat tarawih dalam Ramadan tahun ini.
Pengerusinya, Nor Izhar Hamzah berkata, pihaknya juga berbesar hati dengan kesudian Jabatan Penjara Malaysia bekerjasama dengan Masjid Qaryah Kampung Chennah dalam membawa prospek merasai pengalaman sebagai imam tarawih di masjid.
Katanya, inisiatif itu amat baik kerana dapat mengajak masyarakat khususnya dalam kariah dan jemaah di masjid supaya tidak menghukum atau ada stigma negatif terhadap prospek.
“Ini kali pertama solat tarawih di masjid diimamkan prospek yang dipertanggungjawabkan sebagai imam jemputan.
“Pihak Jabatan Penjara Malaysia minta kebenaran daripada masjid dan sebagai pengerusi, saya tak ada halangan kerana ia perkara baik.
“Kita bukan hakim kerana hakim di mahkamah jadi tak nampak prospek sebagai imam jemputan sebagai satu masalah. Alhamdulillah, imam dibawa juga bagus terutama daripada segi bacaannya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Nor Izhar, dia terbuka jika Jabatan Penjara Malaysia sedia menjalin kerjasama lagi pada masa akan datang.
Nor Izhar berkata, bukan hanya ketika Ramadan namun kerjasama dalam aktiviti lain misalnya dalam hal kebajikan juga sangat dialukan.
“Kalau ada lampu hijau daripada pihak jabatan, kita sedia anjurkan program bersama.
“Nak jadi anak angkat di kampung ini dan di masjid pun tak ada masalah kerana saya melihat mereka sebagai insan soleh yang dalam proses pemulihan.
“Bagi saya, peluang dan ruang harus diberi malah saya kena ajak masyarakat hilangkan stigma terhadap prospek.
“Orang Islam mesti ada nilai positif kerana dikhuatiri mereka kembali ke kehidupan lama tapi yang buruknya jika masyarakat memulaukan prospek. Hakikatnya setiap anak Adam melakukan kesalahan dan penjara tempat meeka bertaubat atas kesalahan lampau,” katanya.
Terdahulu, seorang prospek diberi kepercayaan untuk memimpin solat tarawih sebagai imam di Surau Ar-Rayyan, PPAM Larai, Putrajaya.
Ia bukan saja memperkukuh penghayatan spiritual prospek, malah menjadi bukti bahawa institusi penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman namun medan pemulihan yang membentuk insan supaya kembali ke pangkuan masyarakat sebagai individu lebih baik.
Ia antara usaha berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam membimbing prospek melalui program pemulihan rohani dan sahsiah.
Langkah berkenaan turut membantu mengubah stigma masyarakat terhadap bekas prospek serta membuka ruang kepada mereka untuk kembali menyumbang secara positif kepada komuniti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




