Protes bantah hina Nabi Muhammad

Protes bantah hina Nabi Muhammad
Penunjuk perasaan bertempur dengan polis antirusuhan di bandar terbesar di Turkiye itu. - Foto Agensi

Penunjuk perasaan bertempur dengan polis antirusuhan di bandar terbesar di Turkiye itu. – Foto Agensi

ISTANBUL – Insiden pertempuran ganas tercetus di bandar Istanbul pada Isnin apabila peserta protes membantah tindakan keterlaluan sebuah majalah satira yang didakwa memaparkan karikatur Nabi Muhammad.

Kejadian itu berlaku selepas Ketua Pendakwa Raya Turkiye mengarahkan penahanan beberapa individu termasuk editor majalah LeMan kerana menerbitkan imej kontroversi yang didakwa menghina nilai agama secara terbuka.

Ketua Pengarang majalah berkenaan, Tuncay Akgun bagaimanapun mendakwa karikatur tersebut telah disalah tafsir.

“Ia tiada kaitan langsung dengan Nabi Muhammad dan ia hanyalah nama rekaan mangsa pengeboman Israel.

“Seperti yang kita ketahui, lebih 200 juta individu di seluruh dunia bernama Muhammad. Kami tidak akan mengambil risiko seperti itu dan memohon maaf kepada semua pembaca atas salah faham ini,” jelasnya.

Difahamkan, kira-kira 300 penunjuk perasaan bertindak menyerang sebuah bar yang sering dikunjungi kakitangan LeMan hingga pihak berkuasa terpaksa melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Bagi meredakan kemarahan orang ramai, Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya mengesahkan kartunis dan pereka grafik yang bertanggungjawab menghasilkan imej tersebut turut ditahan pihak berkuasa.

Sementara itu, Menteri Kehakiman, Yilmaz Tunc memaklumkan siasatan telah dibuka atas tuduhan menghina nilai agama secara umum.

INFO:

LeMan ditubuhkan pada 1991 dan menerbitkan bahan berunsur sindiran politik. Ia telah lama menjadi duri dalam daging bagi golongan konservatif selepas menzahirkan sokongan kepada majalah Perancis, Charlie Hebdo yang pejabatnya pernah diserang sehingga meragut 12 nyawa pada 2015 selepas menerbitkan karikatur Rasulullah.

 

 

Scroll to Top