Protes besar di Israel desak tamatkan perang Gaza

Protes besar di Israel desak tamatkan perang Gaza
Protes di Israel berlangsung pada Ahad. Foto: AFP

Protes di Israel berlangsung pada Ahad. Foto: AFP

TEL AVIV – Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan di seluruh Israel pada Ahad bagi menuntut perang di Gaza ditamatkan serta mendesak satu perjanjian dicapai untuk membebaskan tebusan yang masih ditahan.

Bantahan itu diadakan lebih seminggu selepas Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan menawan Bandar Gaza, sekali gus memperluaskan konflik yang sudah berlarutan selama 22 bulan dan mencetuskan krisis kemanusiaan teruk di wilayah Palestin berkenaan.

Perang tercetus pada Oktober 2023 yang menyaksikan seramai 251 orang diculik. Menurut tentera Israel, 49 masih ditahan di Gaza termasuk 27 yang disahkan sudah meninggal dunia.

Di Dataran Tebusan di Tel Aviv, ribuan bendera Israel berkibar dengan wajah-wajah baki tebusan tertera padanya. Penunjuk perasaan turut menyekat beberapa laluan utama termasuk lebuh raya yang menghubungkan Tel Aviv dengan Baitulmaqdis dengan membakar tayar, menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Penganjur demonstrasi bersama Forum Keluarga Tebusan dan Hilang turut menyeru mogok umum pada Ahad, iaitu hari pertama minggu bekerja di Israel. Di Tel Aviv dan Baitulmaqdis, banyak premis perniagaan dilaporkan ditutup.

“Saya fikir sudah tiba masanya perang ini dihentikan. Masa untuk semua tebusan dibebaskan. Dan masa untuk Israel bangkit semula ke arah Asia Barat yang lebih stabil,” kata seorang peserta, Doron Wilfand, 54, ketika berucap di Baitulmaqdis.

Forum Keluarga Tebusan dalam kenyataannya menegaskan bantahan itu bertujuan “menghentikan seluruh negara hari ini dengan satu seruan jelas: Pulangkan 50 tebusan, hentikan perang”.

Mesir memaklumkan pihaknya sedang memimpin usaha baharu bagi rundingan gencatan senjata 60 hari termasuk pembebasan tebusan, selepas pusingan rundingan terakhir di Qatar gagal mencapai kata sepakat.

Polis Israel meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan dan memberi amaran tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang gangguan ketenteraman awam.

Media tempatan melaporkan protes turut berlangsung di Beeri, sebuah kibbutz berdekatan sempadan Gaza, selain di banyak lokasi lain di seluruh negara. -Agensi

Scroll to Top