Los Angeles: Jurugambar Agence France-Presse (AFP) cedera selepas terkena tembakan peluru getah di bahagian muka ketika membuat liputan tunjuk perasaan di pusat bandar Los Angeles, Sabtu lalu.
Mangsa yang enggan dikenali berkata, dia sedang merakam suasana protes yang berlangsung sebagai sebahagian daripada siri bantahan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, apabila terkena dua das tembakan peluru getah dilepaskan pihak berkuasa bagi menyuraikan orang ramai.
“Saya berada kira-kira 90 kaki (kira-kira 27 meter) dari anggota polis apabila terkena peluru getah di muka dan satu lagi di lengan kanan.
“Saya membawa dua kamera, memakai topi keledar dengan pelekat AFP dan terdapat ‘patch’ besar bertulis ‘Press’ di dada saya,” katanya yang sedang menerima rawatan di hospital.
Bagaimanapun, Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) dalam kenyataan kepada AFP tidak mengakui menembak jurugambar terbabit.
Namun mereka memaklumkan, tindakan menyuraikan penunjuk perasaan diambil selepas perhimpunan itu diisytihar sebagai perhimpunan haram.
“Selepas arahan bersurai dikeluarkan, kami menggunakan peluru tidak mematikan untuk mengosongkan kawasan bagi menyuraikan mereka yang enggan beredar,” kata jurucakap LAPD.
Sementara itu, Jabatan Sheriff Los Angeles (LASD) yang turut mengawal tunjuk perasaan itu memaklumkan, pihaknya sedang meneliti rakaman video kejadian untuk mengenal pasti sama ada anggota mereka terbabit.
“LASD tidak menyokong sebarang tindakan yang secara sengaja menyasarkan petugas media,” katanya.
Protes berkenaan adalah yang terbesar sejak tunjuk perasaan mula tercetus di Los Angeles pada 6 Jun lalu, berikutan kemarahan orang ramai terhadap tindakan keras agensi Imigresen dan Kastam (ICE) yang melancarkan serbuan terhadap pendatang tanpa izin, atas arahan pentadbiran Trump.
Walaupun kebanyakan protes berlangsung secara aman di kawasan kecil di sekitar pusat bandar, terdapat insiden keganasan yang digunakan Trump sebagai alasan menghantar 4,000 anggota Pengawal Kebangsaan dan 700 anggota Marin ke bandar itu,
Ia langkah dibantah hebat pemimpin tempatan.
Beberapa wakil media lain turut dilaporkan cedera dalam siri protes berkenaan.
Akhbar The Guardian melaporkan, seorang jurugambar Britain terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas terkena tembakan peluru tidak mematikan di kaki pada 7 Jun.
Sehari selepas itu, seorang wartawan Australia turut terkena tembakan peluru getah di kaki ketika membuat liputan secara langsung.
Sementara itu, New York Post pula melaporkan jurugambar mereka turut ditembak di kepala dengan peluru getah pada hari sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd