zhahirah@hmetro.com.my
Serdang: PRO-NET, anak syarikat milik penuh Proton, secara rasmi mengumumkan nama model kenderaan elektrik (EV) terbaharu iaitu Proton e.MAS 5.
Proton e.MAS 5 dijadualkan dilancarkan pada suku keempat 2025 dan disasarkan kepada golongan pemandu muda serta pembeli EV kali pertama.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, model ini diperkenalkan bagi menjadikan mobiliti elektrik lebih mampu milik, bergaya, dan mudah untuk generasi muda rakyat Malaysia.
“Proton e.MAS 5 adalah gambaran visi PRO-NET untuk era baharu mobiliti elektrik yang lebih pintar, hijau, dan menyeronokkan.
“Dengan penamaan angka “5”, model ini dihasilkan lebih kompak berbanding e.MAS 7 yang direka khusus sebagai SUV segmen-C.
“e.MAS 5 tetap membawa kecerdasan dan reka bentuk berpandangan jauh yang menjadi identiti utama dalam barisan Proton e.MAS,” katanya dalam satu sesi khas bersama media pada Malaysia Autoshow 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif ini juga selaras dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang menyasarkan 80 peratus jualan kenderaan baharu terdiri daripada EV menjelang 2050.
© New Straits Times Press (M) Bhd