Kuala Lumpur: Proton e.MAS 7 akan membuat penampilan awam pertamanya semasa perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Model kenderaan elektrik (EV) pertama jenama automotif nasional itu dipratonton kepada media pada 2 Ogos lalu, menjelang pelancarannya pada hujung tahun ini.
Ia akan muncul dengan motif penyamaran khas mewakili warna Jalur Gemilang, sebagai sebahagian daripada kontinjen 25 kereta yang menampilkan pelbagai model Proton.
Proton yang kini berusia 41 tahun, merupakan sebahagian penting dalam sejarah Malaysia dan kisah perindustrian ekonomi negara.
Barisan 25 kereta syarikat akan merangkumi pelbagai model, bermula dari Proton Saga asal hingga Proton X70 2025, yang baru dilancarkan dua minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata e.MAS 7 bukan sahaja EV pertama Proton, tetapi ia juga merupakan model Proton pertama yang dibangunkan secara serentak dengan pasukan di Geely.
Menurutnya, ini membolehkan masa pengeluaran yang lebih singkat untuk versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan juga menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi serta perkongsian kos pembangunan.
Katanya, bukti kejayaan akhir usaha ini adalah penerimaan pembeli di Malaysia dan pasaran eksport Proton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




