zaky@bh.com.my
Shah Alam: Proton Holdings Bhd (PROTON) mempamerkan model Proton e.MAS 7 PHEV untuk tatapan umum bersempena Proton Tech Showcase yang berlangsung hingga Ahad ini.
Varian plug-in hibrid (PHEV) terbaharu itu adalah ‘kembar’ bagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) global Geely Starray EM-i, tetapi menggunakan tanda nama Proton e.MAS 7 PHEV untuk pasaran Malaysia.
Walaupun PROTON belum mengumumkan spesifikasi tepat dan lengkap bagi Proton e.MAS 7 PHEV, model ini dijangka membawa spesifikasi serta teknologi yang sama dengan penyesuaian bagi pasaran pemanduan sebelah kanan.
Berdasarkan data global model Geely Starray EM-i, model ini dibina di atas platform global Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) dan digerakkan oleh sistem hibrid pintar EM-i Super Hybrid yang menggabungkan enjin petrol dan motor elektrik, menawarkan kecekapan serta kebolehan EV dalam satu pakej.
Di bahagian mekanikal, sumber global menunjukkan e.MAS 7 PHEV dijangka dilengkapi enjin petrol 1.5 liter; dengan data untuk pasaran luar menyebut output sekitar 99 PS dengan tork 125 Nm, manakala motor elektrik menghasilkan sekitar 160 kW dan tork 262 Nm.
Gabungan sistem ini dijangka menjana kuasa total sekitar 262 PS ke roda hadapan melalui transmisi hibrid khas (E-DHT).
Bagi prestasi, model ini dikatakan mampu memecut dari 0–100 kilometer sejam (km/j) dalam masa sekitar lapan saat, dengan kelajuan maksimum dianggarkan sekitar 170 km/j,angka yang mencukupi untuk SUV dalam kelasnya, berdasarkan rujukan model Geely Starray EM-i.
Salah satu kelebihan paling menonjol ialah sistem baterinya kerana versi global model ini menggunakan pakej ‘lithium iron phosphate’ (LFP) berkapasiti 18.4 kWh yang membolehkan pemanduan dalam mod elektrik penuh sehingga sekitar 83 hingga 105 kilometer (km) bergantung piawaian ujian.
Apabila digabungkan dengan tangki bahan bakar 51 liter, e.MAS 7 PHEV dijangka mempunyai jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,000 km sekali gus menawarkan kelebihan buat pengguna yang sering melakukan perjalanan jauh tanpa perlu kerap mengecas atau mengisi petrol.
Dari segi reka bentuk, walaupun asas luaran mirip model global, versi RHD (pemanduan sebelah kanan) dengan kabin dalaman khas e.MAS 7 telah dipamerkan, menandakan versi Malaysia akan menerima ubah suai khusus untuk keperluan tempatan.
Bahagian kabin pula tampil moden dan mewah dengan e.MAS 7 PHEV dijangka dilengkapi skrin pusat bersaiz besar, kluster instrumen digital, sistem infotainment dengan pembesar suara premium, serta konfigurasi tempat duduk untuk keselesaan maksimum berpandukan spesifikasi global Starray EM-i.
Kelengkapan lain termasuk pencahayaan ambien, storan bergaya ‘bridge-style’, dan pengecasan pintar dijangka disertakan untuk melengkapkan imej SUV premium yang bukan sekadar cekap dan praktikal dalam penggunaan harian.
Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, model ini dijangka membawa teknologi ADAS tahap-2 dengan pelbagai fungsi seperti brek automatik kecemasan (AEB), kawalan pelayaran adaptif (ACC), serta sistem kamera 360 darjah untuk keselamatan maksimum.
Untuk fleksibiliti dan kemudahan, sistem EM-i membolehkan peralihan antara tiga mod pemanduan iaitu Pure (hanya elektrik), Hybrid dan Power, supaya pemandu boleh memilih mod sesuai mengikut keadaan jalan, keperluan tork atau kecekapan bahan api.
Menurut maklumat terkini industri, ‘spyshots’ versi RHD e.MAS 7 PHEV telah dikesan di Malaysia, menandakan pelancarannya semakin hampir tetapi hanya tinggallah pengumuman rasmi daripada Proton mengenai spesifikasi dan harga.
Jika dilancarkan, kehadiran e.MAS 7 PHEV dijangka memberi alternatif menarik bagi pengguna negara ini dengan gabungan SUV luas, kecekapan bahan api, kebolehan EV untuk pemanduan bandar, serta jangkaan jarak jauh sesuai dengan gaya hidup rakyat Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




