Proton Saga imbau sambutan 31 Ogos

Proton Saga imbau sambutan 31 Ogos

bhnews@bh.com.my

Segamat: Ia hanya sebuah kenderaan berusia 30 tahun, namun menyimpan nostalgia bagi seorang peniaga makanan berkaitan Hari Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos.

Kereta Proton Saga Megavalve coklat muda 1.5cc milik Mohd Asri Talib, 56, amat besar erti bagi keluarganya pada setiap kali sambutan hari bersejarah itu.

“Kami menggunakan kenderaan ini untuk menyaksikan konvoi perbarisan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Dataran Bandaraya Melaka, selain di Dataran Segamat dan sekitar Johor,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di sini, semalam.

Anak sulung kepada lima adik beradik ini masih jelas terbayang kegembiraan mereka apabila kereta baharu dibeli pada tahun 1991 dibawa pulang oleh arwah bapa, Talib Sulaiman.

Asri berkata, arwah bapa yang ketika itu bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang papan lapis di sekitar Buloh Kasap berjimat untuk mengumpul wang pendahuluan bagi membeli kereta itu dengan harga RM31,500.

“Proton Saga dikategorikan kereta nasional ketika itu dan dimaklumkan oleh jurujual, arwah bapa antara pelanggan terawal di Segamat yang menerimanya,” katanya.

Beliau berkata, tindakannya meletakkan kereta itu di halaman premis perniagaannya bukan untuk mencari publisiti murahan, sebaliknya mahu menunjukkan semangat cintakan negara dan tanah air.

Katanya, beliau memasang lebih 30 bendera Malaysia berukuran kecil dan besar, selain bendera Negeri Johor pada kereta itu bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.

“Ia juga memberi peluang kepada orang ramai yang ingin melihat kereta itu dari dekat kerana ia kini semakin kurang dilihat di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, bagi pelanggannya, Tan Chew Hoon, 52, dia teruja melihat semula Proton Saga itu menjelang ketibaan Hari Kemerdekaan.

“Apa yang Asri lakukan melalui pameran ini amat bagus. Ia sekurang-kurangnya mengingatkan generasi kini bahawa negara ini turut cemerlang dalam bidang automotif, antara kejayaan pasca kemerdekaan.” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top