Kuala Lumpur : Provident Banc Berhad (Provident) memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem perbankan bukan bank tempatan menerusi penganjuran perbincangan panel eksklusif berkaitan cabaran kos sara hidup serta pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) strategik.
Dianjurkan bersama firma perunding kewangan Islam, Masryef Academy itu dirasmikan oleh Pengasas Masyi Group of Companies, Datuk Prof Dr Mazlan Ahmad.
Perbincangan bertajuk “Kos Sara Hidup, Hutang Digital dan Tekanan Kewangan: Peranan Pembiayaan Islam dalam Membina Kestabilan Kewangan” itu mendedah cabaran kerumitan kewangan isi rumah serta perkembangan pesat kemudahan pinjaman digital masa kini.
Menurut Pengarah Eksekutif Provident Banc Berhad, Nor Shahmir Nor Shahid, pembiayaan bertanggungjawab bukan sekadar menyediakan akses dana, malah merangkumi pendidikan kewangan dan tawaran penyelesaian yang telus demi kestabilan jangka panjang pengguna.
Program berkenaan turut memperincikan beberapa fokus kerjasama strategik MoU antaranya kaedah MicroLEAP PLT iaitu platform pembiayaan rakan setara (peer-to-peer financing) kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi membolehkan perniagaan mengakses pembiayaan alternatif.
Selain pembabitan Holborn Capital Partners Sdn Bhd iaitu firma perancangan kewangan antarabangsa bagi memperkemas khidmat nasihat pelaburan dan pengurusan kekayaan.
Begitu juga penyedia kemudahan Akses Gaji Terperoleh (Earned Wage Access) untuk membantu pekerja mengurus komitmen jangka pendek secara sihat menerusi Peopleperks International Sdn Bhd (HariWang).
Provident yang berpengalaman lebih tiga dekad kini menyediakan pembiayaan patuh Syariah sehingga RM150,000 khusus buat penjawat awam menerusi potongan gaji biro Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dengan proses kelulusan sepantas tiga hari bekerja.
© New Straits Times Press (M) Bhd
