PRU15: Agensi KDN siap siaga pastikan hari pengundian berjalan lancar

PRU15: Agensi KDN siap siaga pastikan hari pengundian berjalan lancar

PUTRAJAYA: Agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok, berjalan lancar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya turut bersedia dengan kemungkinan banjir di mana-mana lokasi ‘hotspot’ dikenal pasti di seluruh negara pada hari pengundian.

“Simulasi (banjir dan PRU15) sudah dilakukan sebelum ini, dan diharap tidak timbul situasi luar jangka kerana kita mahu rakyat Malaysia keluar mengundi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai-Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan Gred KP29, di sini, hari ini.

Majlis perbarisan tamat latihan 193 pegawai kadet Imigresen itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pegawai kadet terbabit selesai menjalani latihan selama empat bulan setengah di Akademi Imigresen Malaysia, berbanding 49 hari dalam kursus sebelum ini.

“Pemanjangan tempoh latihan ini adalah untuk meningkatkan kualiti pegawai supaya mendapat pendedahan mencukupi. Ia bagi memastikan pegawai berupaya menghadapi cabaran nanti, terutama dari aspek integriti,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd