SHAH ALAM – Semua pihak digesa tidak terburu-buru mendesak pembubaran awal Parlimen bagi memberi ruang kepada Kerajaan Perpaduan menyelesaikan agenda reformasi institusi penting yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, baki penggal Parlimen ke-15 perlu dimanfaatkan untuk menunaikan komitmen reformasi yang telah dijanjikan kepada rakyat.
“Bersih menggesa semua pihak agar tidak terburu-buru mendesak pembubaran awal Parlimen sehingga agenda reformasi institusi yang penting ini dapat dilaksanakan.
“Kerajaan, pembangkang dan semua parti politik mempunyai tanggungjawab untuk memanfaatkan baki penggal Parlimen ke-15 bagi menunaikan komitmen reformasi yang telah diberikan kepada rakyat,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ia susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad ZahidHamidi, yang turut dipersetujui oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Khamis berhubung cadangan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal sebelum berakhirnya penggal Parlimen semasa.
Kenyataan itu susulan pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Khamis berhubung cadangan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal sebelum berakhirnya penggal Parlimen semasa.
Mengulas lanjut, Bersih turut mengulangi gesaan mereka bersama 44 organisasi masyarakat sivil (CSO) pada 12 Ogos lalu agar Parlimen ke-15 tidak dibubarkan lebih awal, selagi beberapa agenda reformasi institusi penting yang telah dijanjikan masih belum direalisasikan sepenuhnya oleh Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, reformasi-reformasi berkenaan penting untuk memperkukuh institusi demokrasi serta menjamin kepentingan jangka panjang negara dan rakyat.
“Antara reformasi utama yang masih belum diselesaikan di Parlimen termasuk pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP) dan pengenalan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.
“Ia turut melibatkan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012, pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pemberian Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) secara adil dan saksama kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti, serta reformasi Parlimen melalui pengukuhan sistem dan peluasan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen,” tegasnya.
Pada masa sama, Bersih sekali lagi menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan lebih awal tarikh pembubaran Parlimen dan PRU16 sebagai amalan terbaik seperti dilaksanakan di beberapa negara demokrasi maju.
Bersih menjelaskan, langkah itu dapat memberi ruang perancangan mencukupi kepada pengundi selain membantu persediaan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak sekolah, sektor kesihatan dan korporat.
“Mandat rakyat tidak seharusnya dipermainkan oleh ahli-ahli politik hanya untuk mengejar kekuasaan berbanding menyelesaikan janji-janji mereka untuk kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menanggung beban yang sama untuk memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan bagi meningkatkan amalan demokrasi negara yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
