KUALA LUMPUR – Ketika landskap politik negara terus berubah dan tiada jaminan mana-mana parti mampu memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih tokoh paling layak untuk menerajui negara bagi penggal kedua.
Pengerusi Biro Pekerja PKR Selangor, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid berkata, Anwar merupakan pemimpin paling sesuai untuk meneruskan kepimpinan negara, khususnya dalam keadaan politik semasa yang semakin dinamik termasuk selepas Pas mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
Menurut beliau, sebelum Anwar mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada November 2022, pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan pemikir negara membangkitkan kebimbangan mengenai cabaran yang dihadapi Malaysia dari aspek ekonomi, pentadbiran dan tadbir urus.
Katanya, pelbagai dasar serta inisiatif yang diperkenalkan menerusi kerangka Malaysia Madani telah membawa perubahan besar kepada negara, termasuk usaha membasmi kemiskinan tegar, memperkukuh kebajikan rakyat dan meningkatkan keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Apabila Anwar mengambil alih pentadbiran negara, banyak pembaharuan diperkenalkan. Antara yang sering disebut ialah kejayaan menangani isu kemiskinan tegar dan memperkukuh semula keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang perlu dinilai secara objektif oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Abdullah Sani yang juga Naib Ketua Cabang PKR Kuala Langat berkata, perkembangan politik yang berlaku dalam beberapa parti ketika ini turut mencetuskan persoalan mengenai hala tuju kepimpinan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, pergolakan yang berlaku menyebabkan rakyat mula memikirkan siapakah pemimpin yang benar-benar mampu menerajui negara sekiranya tiada satu gabungan politik berjaya memperoleh dominasi besar selepas PRU16.
“Realitinya, rakyat akan melihat siapa yang mampu membawa manfaat kepada negara. Hari ini kita menyaksikan pelbagai pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia yang dikaitkan dengan kepimpinan Perdana Menteri.
“Ia bukan sahaja melibatkan hubungan diplomatik, malah keyakinan pelabur asing dan penghormatan yang diberikan oleh negara-negara besar terhadap Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kemampuan menarik pelaburan asing, memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa serta memastikan kestabilan ekonomi ketika dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan merupakan antara kriteria penting yang perlu dimiliki seorang pemimpin negara.
Menurutnya, setakat ini beliau tidak melihat tokoh lain yang mempunyai pengalaman, jaringan antarabangsa serta kredibiliti setanding dengan Anwar untuk mengemudi negara dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar.
“Kita percaya rakyat cukup matang untuk membuat penilaian. Walau apa juga serangan politik dan fitnah yang dilemparkan, Perdana Menteri tetap meneruskan tugas beliau termasuk memperkukuh hubungan perdagangan serta kerjasama antarabangsa demi kepentingan negara.
“Akhirnya rakyat akan menentukan siapa yang paling layak untuk menerajui Malaysia. Pada pandangan saya, Anwar masih merupakan pilihan paling sesuai untuk meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negara selepas PRU16,” katanya.



