Paris: Paris Saint Germain (PSG) mungkin sudah mengesahkan kejuaraan Ligue 1 dengan baki enam perlawanan, namun pengendali mereka, Luis Enrique, menegaskan skuadnya masih penuh motivasi untuk menamatkan musim tanpa kekalahan.
PSG yang kini mengumpul 74 mata selepas 28 perlawanan, bukan sekadar juara bertahan empat musim berturut-turut, malah turut mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan final Piala Perancis.
Namun menjelang pertemuan menentang Le Havre – pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran esok, Enrique memberi amaran bahawa PSG tidak boleh leka atau menurunkan standard permainan mereka.
“Kami sedang mempersiapkan diri seperti biasa. Kami ada peluang pecahkan rekod – dan ia dalam genggaman pasukan,” kata Enrique pada sidang media Jumaat.
“Ia bukan sesuatu yang sering berlaku. Itulah motivasi utama kami sekarang. Kami memang sudah bergelar juara. Tapi kalau mahu kekal lama di PSG, anda mesti sentiasa bermain pada tahap tertinggi.”
Katanya lagi, walaupun berada di puncak, PSG tetap berdepan cabaran getir kerana Le Havre ‘masih ada banyak yang perlu diperjuangkan’.
© New Straits Times Press (M) Bhd