Paris: Paris Saint-Germain (PSG) berpeluang menempah tempat ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara untuk musim ke-14 berturut-turut sekiranya menang atau seri menentang AS Monaco dalam aksi timbal balik playoff di Parc des Princes, awal pagi Khamis ini.
Pada aksi pertama, juara bertahan itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Les Monegasques 3-2.
20 minit pertama di Stade Louis II nyata tidak memihak kepada Les Parisiens, namun mereka menunjukkan semangat juang tinggi untuk bangkit semula.
Ia kali pertama dalam abad ini PSG berjaya memenangi perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara selepas ketinggalan dua gol.
Anak buah Luis Enrique kini mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam aksi kalah mati di kejohanan ini, selain memenangi dua perlawanan terakhir di laman sendiri.
PSG akan turun dengan rekod lapan perlawanan tanpa kalah daripada sembilan aksi kompetitif terakhir di Parc des Princes.
Mereka juga tidak tewas dalam lima pertemuan terakhir menentang Monaco di ibu negara Perancis dan belum pernah kalah dalam perlawanan kalah mati satu perlawanan menentang kelab itu dalam abad ini.
Monaco pula memasuki aksi timbal balik dalam situasi perlu menang untuk terus menghidupkan peluang dalam Liga Juara-Juara.
Kelab itu tersingkir dalam tiga aksi dua perlawanan terakhir di kejohanan ini dan belum mara ke pusingan 16 terbaik sejak era Kylian Mbappe membantu mereka mara ke separuh akhir musim 2016-17.
Bagaimanapun, skuad kendalian Sebastien Pocognoli mencatat dua kemenangan dalam tiga aksi terakhir menentang pasukan Perancis, termasuk bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Lens 3-2 pada Sabtu lalu, sekali gus membantu PSG kembali merampas kedudukan teratas Ligue 1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




