Paris: Permulaan hambar Paris Saint-Germain pada saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini berterusan selepas seri 1-1 dengan PSV Eindhoven, awal pagi tadi.
Juara Belanda itu terlebih dahulu di depan menerusi rembatan Noa Lang selepas setengah jam perlawanan di Parc des Princes tetapi Achraf Hakimi menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.
Perlawanan itu sepatutnya dimenangi PSG berdasarkan beberapa peluang dimiliki tetapi sekali lagi mereka dihampakan ketumpulan penyudah, masalah sama dihadapi pada peringkat Eropah.
“Sukar menerima keputusan selepas perlawanan seperti itu tetapi kami tahu ada kalanya bola sepak tidak adil,” kata pengurus PSG Luis Enrique. “Kami beraksi dengan baik sepanjang perlawanan berbanding PSV.”
Gergasi Perancis itu membuat 26 percubaan berbanding PSV lapan. Mereka kini hanya menjaringkan dua gol pada lima aksi terakhir Liga Juara-Juara Eropah dengan salah satunya gol sendiri ketika menentang Girona bulan lalu.
Di Turin, Juventus tewas 0-1 di tangan Stuttgart hasil jaringan lewat El Bilal Toure untuk kemenangan pertama pasukannya dalam saingan elit Eropah itu.
Pasukan tuan rumah terselamat daripada dibolosi jaringan lebih besar jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Mattia Perin manakala jentera serangan mereka hanya mampu melakukan satu percubaan tepat.
Pengurus Juventus Thiago Motta percaya skuadnya yang beraksi tanpa Nico Gonzalez, Teun Koopmeiners, Gleison Bremer, Arek Milik dan Douglas Luiz akibat kecederaan perlu memperbaiki prestasi dalam banyak aspek jika mahu menghuni kelompok lapan teratas dalam carta 36 pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




