PSG kekal pendahulu Ligue 1 meskipun seri di Lorient

PSG kekal pendahulu Ligue 1 meskipun seri di Lorient

Paris: Paris Saint Germain (PSG) kekal di puncak Ligue 1 walaupun sekadar seri 1-1 menentang Lorient, namun kebimbangan utama tertumpu kepada kecederaan yang menimpa bintang muda mereka, Desire Doue, yang terpaksa diusung keluar padang akibat masalah paha kanan, awal pagi tadi.

Doue, 20, yang baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan ketika beraksi bersama skuad Perancis pada September lalu, rebah pada minit ke-60 dan dilihat meninggalkan stadium dengan tongkat sambil mengelak memijak kaki kanannya.

Insiden itu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai tahap kecergasannya menjelang aksi penting menentang Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) minggu depan.

“Ia berita buruk setiap kali ada pemain cedera,” kata pengendali PSG, Luis Enrique.

“Saya tidak tahu sejauh mana serius kecederaannya, tapi saya harap ia tidak terlalu teruk. Ia agak pelik kerana dia kelihatan cergas sebelum ini.”

Doue menjadi wira PSG dalam kemenangan besar 7-2 ke atas Bayer Leverkusen pada aksi UCL sebelum ini apabila menjaringkan dua gol, dan ketiadaannya bakal menjadi tamparan besar buat juara Eropah itu jika terpaksa diketepikan.

Dalam aksi di Brittany itu, PSG mendahului menerusi jaringan Nuno Mendes pada minit ke-49 sebelum Igor Silva pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Luis Enrique mengakui persembahan pasukannya kali ini jauh daripada memuaskan.

“Kami tak layak menang. Persembahan sangat lemah, terlalu banyak kesilapan,” katanya.

“Kami perlukan mata penuh, tapi Lorient bertahan dengan sangat baik.”

Walaupun terikat, PSG kekal di tangga teratas selepas Marseille sekadar seri 2-2 di laman sendiri menentang pasukan tercorot, Angers, manakala Monaco melonjak ke tangga kedua selepas menewaskan Nantes 5-3.

Dalam perlawanan lain, Lens tewas 0-2 kepada Metz, Nice menang 2-0 ke atas Lille, Le Havre menewaskan Brest 1-0, dan Strasbourg melonjak ke tangga keempat selepas menundukkan Auxerre 3-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top