PSG layak juara UCL, saya tak kecewa – Mbappe

PSG layak juara UCL, saya tak kecewa – Mbappe

Stuttgart: Kylian Mbappe menegaskan dia tidak berasa kecewa apabila bekas kelabnya, Paris Saint Germain (PSG) menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) musim ini, setahun selepas pemergiannya ke Real Madrid.

Mbappe, 26, yang kini mengetuai skuad Perancis di Liga Negara-Negara, menyatakan bahawa waktunya bersama PSG sudah berakhir dan dia reda tidak menjadi sebahagian daripada skuad bersejarah itu.

“Saya tak tinggalkan PSG terlalu awal. Cerita saya dengan kelab itu sudah tamat. Saya tak kecewa. Saya cuba segala-galanya, tapi takdir menentukan ia berlaku tanpa saya,” katanya dalam sidang media menjelang perlawanan tempat ketiga menentang Jerman, esok.

PSG melakar sejarah apabila membelasah Inter Milan 5-0 dalam final di Munich minggu lalu, kejuaraan Eropah pertama dalam sejarah kelab berkenaan.

“Saya gembira untuk mereka. Mereka layak menang. Bertahun-tahun mereka gagal, saya pun dah lalui semuanya, main dari peringkat kumpulan hingga ke final. Tapi bukan waktu kemenangan.”

“Mereka kini pasukan terbaik di Eropah. Saya tak ingat bila kali terakhir pasukan menang 5-0 dalam final besar.”

Mbappe, yang gagal membantu PSG menjulang kejuaraan Eropah sepanjang tujuh tahun di Paris, menyertai Real pada musim panas 2024 dengan harapan memburu kejuaraan Eropah pertamanya.

Namun, impian itu tertangguh apabila Los Blancos tersingkir di suku akhir kepada Arsenal, manakala musim sulungnya bersama Real berakhir tanpa sebarang trofi, kegagalan pertama kelab itu dalam empat tahun.

“Saya masih mahu menangi UCL, sudah tentu. Tapi kali ini, ia bukan rezeki saya,” kata Mbappe.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top