sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meluahkan rasa terkilan terhadap perejam utama negara, Mohamad Azlan Alias apabila dirinya yang sepatutnya berada dalam tempoh ‘bertenang’ ekoran kecederaan sebaliknya memilih untuk turun beraksi pada saingan divisyen 1, Liga Sepak Takraw (STL) 2025, minggu lalu.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, tindakan itu ternyata mengejutkan banyak pihak termasuk dirinya kerana Azlan seharusnya berehat selepas dia mengalami kecederaan pada bahagian siku ketika beraksi di final acara regu berpasukan Piala Asia bulan lalu.
Ekoran itu, PSM mengambil langkah seterusnya iaitu memberikan surat tunjuk sebab kepada Azlan dan pasukannya, Melaka Titans untuk menyatakan alasan konkrit dalam tempoh seminggu.
“Saya memang kecewa apabila melihat Azlan bermain sedangkan dia sepatutnya dalam proses pemulihan berdasarkan nasihat dan laporan yang dikeluarkan oleh doktor yang merawatnya termasuk ISN (Institut Sukan Negara),” katanya.
Malah, Sumali memandang serius apa yang terjadi dan akan membawa isu berkenaan ke Jawatankuasa Disiplin PSM agar ia tidak menjadi ikutan pemain lain pada masa akan datang.
“Kami tidak halang pemain beraksi untuk pasukan masing-masing, tetapi keutamaan tetap perlu diberikan kepada negara. Ini juga satu bentuk peringatan kepada pemain negara supaya tidak mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Sebagai makluman, ISN menyarankan pemain itu untuk berehat antara empat hingga enam minggu bagi menjalani rawatan dan sesi fisioterapi secara intensif agar kecederaan itu dapat sembuh mengikut masa yang ditetapkan.
“Jika pemain mengabaikan nasihat doktor dan ISN, ia satu perkara yang amat dikesalkan. Tempoh rehat ini bertujuan memastikan dia pulih sepenuhnya dan bersedia untuk kejohanan penting seperti Piala Raja Thai bulan depan dan Sukan Sea di Bangkok.
“Apabila dia langgar arahan ini, seolah-olah dia tak hormat apa yang doktor dan pakar ISN nasihatkan. Laporan perubatan termasuk imbasan MRI sudah dikeluarkan.
“Jika dia mengalami kecederaan pada perlawanan itu dan terpaksa berehat lebih lama, contohnya enam bulan, siapa yang akan bertanggungjawab? Dia pemain kebangsaan dan turut menerima gaji (sebagai pemain negara),” kata Sumali.
Untuk rekod, Melaka Titans seperti terpaksa menekan ‘butang kecemasan’ dengan menurunkan pemain berpengalaman negara di peringkat separuh akhir dan itu membuahkan hasil apabila mereka layak ke final sebelum muncul juara serta layak secara automatik ke saingan Premier STL tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




