PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) melarang penggunaan trompet, vuvuzela dan sebarang alat tiupan yang menghasilkan bunyi kuat oleh penonton sepanjang berlangsungnya saingan Sepaktakraw League (STL) 2026.
Dalam satu kenyataan, PSM memaklumkan larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan melibatkan semua venue pertandingan sepanjang kejohanan berkenaan.
“Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira maklum balas pasukan bertanding selain keperluan memastikan suasana pertandingan kekal terkawal, selesa dan profesional,” kata kenyataan itu.
Menurut PSM, pihaknya tidak menafikan sorakan serta sokongan penyokong merupakan elemen penting dalam memeriahkan sesuatu pertandingan.
Bagaimanapun, penggunaan alat tiupan seperti trompet dan vuvuzela dikhuatiri menghasilkan bunyi terlalu kuat sehingga boleh mengganggu tumpuan pemain, komunikasi antara pemain dengan jurulatih serta urusan rasmi membabitkan pengadil dan pegawai pertandingan.
“PSM meminta kerjasama semua penonton dan penyokong supaya mematuhi ketetapan berkenaan bagi memastikan kelancaran saingan STL 2026.
“Pihak pengurusan venue serta petugas pertandingan turut diarahkan memastikan larangan itu dilaksanakan dan dipatuhi sepanjang kejohanan berlangsung,” kata kenyataan itu lagi.
PSM dalam masa sama menghargai sokongan serta semangat kesukanan penyokong dan menggalakkan mereka terus memberikan sokongan menerusi sorakan positif tanpa menjejaskan kelancaran serta profesionalisme pertandingan.



