PSM sahkan terima permohonan Selangor

PSM sahkan terima permohonan Selangor

PERSATUAN Sepaktakraw Selangor (PSS) telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungan badan induk sepak takraw negara tersebut.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima permohonan tersebut melalui surat bertarikh 19 Januari selaras dengan keputusan mesyuaratnya yang telah diadakan pada 27 Disember tahun lalu.

“Saya ingin maklumkan di sini secara prinsipnya, Jawatankuasa Tertinggi PSM telah bersetuju menerima Persatuan Sepak Takraw Selangor sebagai ahli gabungan PSM.

“Namun permohonan Persatuan Sepak Takraw Selangor ini akan disahkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi yang akan datang.

“Saya yakin penyertaan Persatuan Sepak Takraw Selangor semula di dalam PSM merupakan sebahagian daripada langkah perpaduan semua badan sukan sepak takraw negeri.

” Ia juga secara tidak langsung akan menjamin pembangunan sukan sepak takraw secara menyeluruh di seluruh negara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod, PSM kini menaungi 13 ahli gabungan dan enam ahli bersekutu.

Ketika ditanya mengenai Persatuan Sepak Takraw Putrajaya, Persatuan Sepaktakraw Sarawak dan Persatuan Sepaktakraw Labuan, Sumali berharap tiga persatuan negeri itu dapat menyertai semula keluarga PSM dalam memastikan segala perancangan memajukan sukan tersebut di peringkat akar umbi tercapai.