
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj (kiri) pada Isnin.
SERAMAI 100 individu terpilih dalam kalangan mualaf, fakir miskin dan fisabilillah dari seluruh negara menerima tajaan menunaikan ibadah umrah daripada PSU Group of Companies.
Pengarah urusannya, Mohammad Arrief Mu’min berkata, Program Umrah Nur Al-Syifa merupakan satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat yang mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam menyantuni kebajikan rohani masyarakat.
“Usaha ini juga selaras dengan nilai teras syarikat yang menekankan keseimbangan antara kejayaan perniagaan dan tanggungjawab sosial.
“Pihak syarikat secara konsisten memperuntukkan sebahagian daripada keuntungan tahunan bagi melaksanakan program kebajikan serta pembangunan ummah,” katanya yang mula mewakafkan sebahagian daripada pendapatannya sejak umur 20 tahun.

PSU Group of Companies taja 100 jemaah tunai umrah menerusi program dibawah CSR syarikat.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj pada Isnin.
Berkongsi lanjut mengenai usaha berkenaan, Mohammad Arrief berkata, prinsip utama dalam kehidupan dan perniagaannya adalah keyakinan bahawa semakin banyak memberi, semakin besar ganjaran serta rezeki yang dilimpahkan oleh ALLAH SWT.
“Kami percaya kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui pencapaian kewangan, sebaliknya turut dinilai berdasarkan sumbangan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta usaha mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
“Program Umrah Nur Al-Syifa ini merupakan salah satu inisiatif kami untuk berkongsi rezeki dan memberi peluang kepada individu terpilih menjadi tetamu ALLAH,” ujar beliau.
Sebelum ini, syarikat berkenaan turut menaja ramai individu secara perseorangan bagi menunaikan ibadah umrah.
Bagaimanapun katanya, Program Umrah Nur Al-Syifa merupakan tajaan serentak pertama yang melibatkan penghantaran seramai 100 jemaah ke Tanah Suci.
“Program ini bertujuan memberi peluang kepada jemaah yang layak menunaikan ibadah umrah dengan lebih sempurna dan tenang, di samping diharapkan mampu memberi impak positif dari segi kerohanian serta kesejahteraan diri para jemaah.
“Saya juga berhasrat membantu merealisasikan impian umat Islam ke Tanah Suci melalui program anjuran syarikat yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya. – Bernama



