hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) menegaskan skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) kekal relevan dan bukan sekadar legasi kolonial seperti didakwa dalam artikel sebuah portal.
Presidennya, Datuk Dr Awang Alik berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan dikemukakan portal berkenaan, namun menegaskan skim berkenaan sudah melalui evolusi signifikan sejak merdeka.
“PTD berkembang menjadi institusi strategik yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan pentadbiran, kesinambungan dasar serta keberkesanan pelaksanaan agenda pembangunan negara.
“Sejak penubuhannya, PTD terbabit secara langsung dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar utama negara termasuk penyelarasan Rancangan Malaysia Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru serta pelbagai inisiatif transformasi kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian berikutan artikel Codeblue yang bertajuk, Time To Phase Out Colonial-Era PTD Scheme From Malaysia’s Civil Service yang membincangkan keperluan untuk melakukan reformasi atau memansuhkan skim PTD yang dianggap sebagai warisan penjajah British.
Katanya, keupayaan PTD menyelaras dasar merentas kementerian dan agensi menjadi kekuatan institusional penting bagi memastikan pendekatan keseluruhan kerajaan dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
“Peranannya terus relevan dalam mendukung aspirasi Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dalam tadbir urus negara,” katanya.
Beliau menegaskan struktur pentadbiran negara sudah melalui transformasi besar menerusi sistem pengambilan kompetitif, latihan profesional berterusan dan budaya kerja berasaskan prestasi, sekali gus memastikan PTD kekal sebagai institusi moden yang relevan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




