bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang menyiasat kelemahan sistemnya yang menyebabkan baki pinjaman seorang peminjamnya meningkat daripada satu sen kepada RM515 dalam tempoh enam tahun.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata siasatan itu bertujuan mengelak kejadian serupa berulang di masa hadapan.
“Itu satu kelemahan yang didapati dalam sistem dan saya sudah mengarahkan siasatan segera sebab kalau dari (baki) satu sen jadi lebih banyak, maka ada kelemahan perlu diperbaiki.
“Setakat saya dimaklumkan, kes spesifik itu sudah diselesaikan tetapi saya harap ialah hal sebegini tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pemberian vaksin kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti UCSI, hari ini.
Sebelum ini seorang peminjam PTPTN berkongsi hantaran di Facebook berikutan menerima notis peringatan undang-undang dari PTPTN bagi menyelesaikan tunggakan pinjaman berjumlah RM515.
Peminjam terbabit sebelum membuat pembayaran penuh pada tahun 2015, namun dimaklumkan terdapat baki satu sen dalam akaun pinjamannya yang meningkat kepada RM515 dalam tempoh enam tahun.
Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata, ramai peminjam PTPTN sebelum ini menolak pemberian moratorium dan memilih untuk membayar pinjaman mereka seperti biasa.
Katanya, berdasarkan data sebelum ini, PTPTN menerima pembayaran antara RM10 juta ke 20 juta daripada peminjamnya sepanjang pemberian moratorium berlangsung.
PTPTN akan memberi moratorium selama tiga bulan kepada peminjamnya melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), yang diumumkan baru-baruini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




