bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Bagi menghargai peminjam yang komited membayar balik pinjaman mereka, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Peraduan JomPAY and Win! 2021 dengan tawaran hadiah bernilai RM50,000 untuk 50 pemenang
Program itu diadakan dengan kerjasama Kumpulan Ambank (M) Bhd (Ambank) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet)
PTPTN dalam kenyataannya, memaklumkan kempen JomPAY & Win! 2021 yang diadakan kali ini menawarkan hadiah wang tunai berbentuk bayaran balik atau Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada pemenang.
Katanya, bagi pemenang yang mempunyai jumlah baki pinjaman kurang daripada nilai hadiah yang dimenangi, sebarang lebihan daripada hadiah tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan SSPN-i pemenang.
“Selain menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman, secara tidak langsung peminjam PTPTN juga dapat menyertai kempen yang dianjurkan dan memenangi wang tunai sebagai tambahan kewangan membantu mereka membayar balik pinjaman,” katanya.
Kenyataan itu berkata, kempen itu terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN melalui saluran dalam talian JomPAY dengan tempoh promosi adalah selama tiga bulan bermula 1 Ogos sehingga 31 Oktober ini.
Katanya, peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh promosi untuk melayakkan mereka mendapat satu cabutan dan penyertaan adalah secara automatik.
“Hadiah yang ditawarkan kepada pemenang utama berjumlah RM11,000; kedua RM8,000; ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000, manakala turut disediakan hadiah saguhati RM500 kepada 46 penerima.
“Semua hadiah yang ditawarkan ini adalah tajaan sepenuhnya oleh Ambank dengan kerjasama PayNet sebagai jalinan kerjasama strategik dengan PTPTN.
”PTPTN dan AmBank sudah menjalin kerjasama sejak tahun 2017 lagi dalam usaha untuk menggalakkan pelanggan PTPTN melakukan transaksi pembayaran melalui saluran dalam talian JomPAY tanpa sebarang kos,” katanya.
Katanya, JomPAY adalah perkhidmatan pembayaran bil dalam talian terbesar di Malaysia yang menawarkan kemudahan perkhidmatan pembayaran kepada para pelanggan melalui mana-mana bank di Malaysia.
“Justeru, kerjasama ini adalah bukti komitmen dan kesungguhan PTPTN untuk memastikan peminjam dapat melaksanakan bayaran balik dengan cepat, mudah dan selamat secara dalam talian dalam keadaan pandemik COVID-19 masih melanda,” katanya.
Katanya, peminjam PTPTN boleh memilih saluran JomPAY untuk membuat bayaran balik pinjaman di samping memenangi hadiah yang disediakan melalui kempen berkenaan.
“Bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh para peminjam amat bermakna dan penting untuk kesinambungan pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen JomPAY & Win! 2021, boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd
