Pendakwah bebas, PU Riz menitipkan ucapan istimewa buat isterinya, selebriti dan usahawan terkenal Neelofa, bersempena ulang tahun kelahiran yang disambut pada 10 Februari.
Menerusi perkongsian di Threads, PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail meluahkan rasa syukur kerana isterinya masih dipanjangkan usia untuk terus hidup bersama.
Baik akhlak, tahu jaga maruah diri

“Pertama syukur ke hadrat Tuhan telah memberi dan memanjangkan usia kita hidup bersama, kehadiran adinda buat keluarga kita SubhanAllah amat luar biasa,” ciapanyannya, hari ini.
Dalam pada itu, Haris juga memuji keperibadian Neelofa sebagai seorang isteri dan ibu, khususnya dalam menjaga akhlak, maruah diri serta mendidik anak-anak mereka, Abbas dan Bilal, dengan penuh keikhlasan.
“Sejujurnya amatlah banyak kebaikan yang telah dibukti dengan perbuatan daripada akhlak, jaga anak-anak dan maruah diri, sungguh pada hemat saya, isteri ikhlas melaksanakannya,” ujarnya.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu, menyentuh peranan Neelofa dalam menguruskan keperluan harian anak-anak serta mencurahkan kasih sayang tanpa berbelah bahagi, yang disifatkan sebagai pengorbanan seorang ibu yang luar biasa.

“Dari order makan ‘butter chicken’, noodle soup, ayam kicap, ayam kurma dan juga pizza sehinggalah juga dengan kasih sayang yang tidak putus.
“Teringat akan satu waktu kita berada di Tanah Suci dengan nada sederhana dan mungkin jua sebak, dia beritahu ‘I banyak doa untuk kita, rezeki you dan anak-anak’,” kongsinya.
Menurut PU Riz, doa dan kasih sayang yang dicurahkan Neelofa sudah cukup menggambarkan keperibadian seorang isteri dan ibu yang meletakkan kebahagiaan keluarga mengatasi segalanya.

“Apa lagi yang diinginkan dari seorang ibu dan isteri yang menyayangi keluarganya lebih dari yang lain.
“Jazakillahkhair, Happy birthday isteriku,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Neelofa lebih tenang tak dedah muka anak, PU Riz tunggu masa sesuai hingga boleh dakwah
Untuk rekod, Neelofa dan PU Riz mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 4, dan Muhammad Abdullah Abbas, 3 tahun.
Sumber: Threads hrisbismail




