am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya berasa puas bila menang 3-0 kerana orang tak nampak saya ‘training’ bangun jam 6 pagi dan lari 5 kilometer setiap hari sepanjang sebulan latihan,” kata pelakon Ahirine Akhirudin, 28.
Ahirine berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangannya dalam pertandingan Muay Thai kategori berat 57 hingga 60 kilogram (kg) yang berlangsung di Stadium Kajang pada Mac lalu.
Ahirine berkata, dia mula berjinak dengan menyertai sukan tempur itu untuk menimba pengalaman dalam seni bela diri, sejak dua tahun lalu.
“Ini kali ketiga saya masuk pertandingan Muay Thai yang juga ‘open fight’ membabitkan peserta dari tanah air.
“Pada tahun lalu, saya menyertai pertandingan di Lalaport, Bukit Bintang.
“Terbaru, insya-Allah, saya merancang untuk sertai pertandingan pada Julai nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai persediaan, kata Ahirine, selalunya dia akan berlatih selama sebulan menjelang hari pertandingan.
“Ketika menyertai pertandingan Muay Thai tahun lalu, jadual saya sangat padat dengan pelbagai acara seperti perlumbaan Toyota selama seminggu, menunggang motosikal sejauh 2,000 kilometer keliling Borneo dan Toyota Gazebo Racing.
“Kalau pertandingan saat akhir, latihan hanya tiga minggu saja. Kena tidur awal jam 11 malam dan bangun jam 5 atau 6 pagi serta lari 5 kilometer untuk panaskan badan.
“Ia memang memenatkan tapi semuanya berjaya dilalui sebab minat mendalam,” katanya.
Ditanya sama ada dia mahu menjadi atlet Muay Thai secara profesional pula, kata Ahirine, buat masa ini dia tidak merancang untuk menjadikannya sebagai kerjaya profesional kerana keutamaan tetap pada bidang lakonan.
“Saya menyertai pertandingan untuk mencari pengalaman ketika ini. Bukan sebab dah lambat kerana ada juga yang menceburi kerjaya ini pada usia 28 tahun.
“Namun, saya ada banyak komitmen lain termasuk karier lakonan kerana kalau sertai pertandingan sesi latihan setiap hari dan disiplin yang tinggi,” katanya.
Ditanya kecederaan pula, kata Ahirine, setakat sakit badan dan tubuh lebam-lebam adalah perkara biasa dalam seni bela diri.
“Saya sertai sukan Muay Thai thai untuk perbaiki teknik tumbukan dan sepakan sebagai persediaan untuk filem aksi lagak ngeri.
“Sebab masa uji bakat lakonan dulu, saya pernah gagal dapat watak dalam cerita aksi diidamkan kerana tiada teknik dalam tumbukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




